amree17/09/2026 - 17:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept — Binastra Corporation Berhad semakin memperkukuh keupayaan dalam segmen pembinaan pusat data (DC) setelah memperoleh tujuh projek berjumlah kira-kira RM2.4 bilion, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan bagi tempoh empat tahun akan datang.
Pengembangan dalam segmen berkenaan turut disokong kepelbagaian tender kepada projek tenaga boleh diperbaharui (RE) serta pembinaan khusus, dengan Binastra mencatatkan kontrak baharu bernilai RM1.3 bilion setakat tahun kewangan 2027 (FY27).
Susulan pemerolehan kontrak baharu itu, jumlah buku tempahan terkumpul syarikat berkenaan kini meningkat kepada kira-kira RM6.7 bilion, dan memberikan asas kepada pertumbuhan operasi kumpulan untuk beberapa tahun akan datang.
Pengarah Urusan Binastra, Datuk Ir Jackson Tan Kak Seng berkata, perkembangan dalam pembinaan DC menjadi antara pencapaian penting kumpulan sejak memasuki segmen berkenaan, selain mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan syarikat.
"Kumpulan ini terus memperluaskan pendedahan kepada banyak tender melibatkan kerja-kerja DC, RE dan projek pembinaan khusus bagi mempelbagaikan sumber pendapatan serta memperkukuh keupayaan teknikal," kata beliau dalam kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut didaftarkan sebagai Jurutera Profesional dalam bidang kejuruteraan awam dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), sekali gus mengukuhkan kredibiliti teknikal dan kejuruteraan kumpulan.

Dari segi prestasi kewangan, Binastra berjaya mencatat pertumbuhan kukuh bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2026 (2QFY27), dengan hasil meningkat 65.9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM658.4 juta.
Bagi tempoh enam bulan pertama FY27 (1HFY2027), hasil kumpulan melonjak 93.4% kepada RM1.3 bilion, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) serta keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) masing-masing meningkat 73% dan 60.4% kepada RM122.1 juta dan RM85.9 juta.
"Prestasi tersebut didorong terutamanya segmen pembinaan teras, dengan hasil daripada projek pembinaan konvensional dan pusat data meningkat RM164.2 juta kepada RM560.8 juta pada 2QFY2027," jelas Binastra dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan berkenaan turut mendapat sumbangan daripada anak syarikat baharu, LF Lansen Sdn Bhd yang dimiliki 51%, serta pengembangan kepada perkhidmatan pemasangan solar yang menyumbang RM97.4 juta hasil pada suku tersebut.
Susulan prestasi serta prospek perniagaan yang disifatkan positif, Binastra mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 4.0 sen sesaham bagi FY27, membabitkan jumlah kira-kira RM43.8 juta yang akan dibayar pada 16 Oktober 2026. - DagangNews.com






