FGV beroperasi semula di Terengganu selepas tempoh remedi dilanjutkan

LocalBusiness & Finance
9 Dec 2025 • 3:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

FGV beroperasi semula di Terengganu selepas tempoh remedi dilanjutkan
image is not available
liza09/12/2025 - 15:35 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Dis – Felda Global Ventures (FGV) memulakan semula operasi ladang kelapa sawitnya di Terengganu bermula hari ini seperti dipersetujui oleh kerajaan negeri.

 

Dalam satu kenyataan bersama Jabatan Komunikasi Strategik Felda dan Bahagian Komunikasi Strategik Kumpulan FGV memaklumkan, pihaknya amat menghargai pendekatan konstruktif, keterbukaan serta kerjasama erat yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

 

“Ini termasuk keputusan melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026.

 

“Perkembangan ini memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu ini berdepan ketidakpastian tentang pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka. 

 

“Sejak awal, keutamaan kami adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara,” menurut kenyataan tersebut.

 

Dengan perkembangan terbaharu itu, FELDA dan FGV kini dapat meneruskan operasi secara normal dan kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan.

 

Menurut kenyataan itu, kepastian ini bukan sahaja mengembalikan keyakinan dalam kalangan peneroka dan pekerja, malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.

 

“FELDA dan FGV merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen dan kesediaan untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional. 

 

“Kerjasama ini amat bermakna kerana pada akhimya kesejahteraan peneroka yang menjadi tunjang dan nadi FELDA sejak penubuhan adalah kepentingan bersama yang mesti terus dipertahankan,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tanah Terengganu reda: FGV dibenarkan operasi serta-merta, tempoh remedi hingga 7 Januari 2026

 

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju untuk melanjutkan tempoh remedi di dalam notis yang telah dikeluarkan bagi tempoh satu bulan berakhir pada 7 Januari 2026.

 

“Terengganu juga tidak meneruskan notis yang telah dikeluarkan kepada kesemua Lembaga Pengarah FGV.

 

“Dalam tempoh remedi ini, perbincangan ke arah memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diadakan.

 

“Kerajaan Negeri juga telah mempertimbangkan untuk bersetuju memberi kelonggaran kepada FGV bagi meneruskan operasi semua ladang mereka di Terengganu berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan itu. - DagangNews.com

Terkini featured standard