Fibromat sasar kontrak RM2 bilion, sedia beralih jadi kontraktor reka dan bina penuh

29/08/2025 - 16:01
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Fibromat (M) Berhad menyasarkan untuk meraih kontrak bernilai sehingga RM2 bilion dalam masa terdekat, sejajar dengan pelan syarikat itu untuk mengembangkan lagi peranannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Danny Ng Kian Boon, kumpulan kepakaran geoteknikal itu bersedia bagi beralih daripada hanya subkontraktor khusus kepada kontraktor reka dan bina secara sepenuhnya.
Syarikat tersebut katanya, kini telah melepasi proses pra-kelayakan bagi beberapa tender terpilih yang membabitkan pelbagai projek besar berkaitan tebatan banjir dan kerja-kerja penambakan tanah.
Tambahnya, antara projek itu termasuk Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Fasa 2 di Sungai Golok dan Semantan, serta projek tebatan banjir di Sungai Lipis, Sungai Tanum, dan Sungai Merapoh.
“Berdasarkan kapasiti sedia ada, kami memiliki jentera, peralatan, dan keupayaan reka bentuk, serta berada dalam kedudukan lebih kukuh ketika ini," kata Kian Boon pada taklimat prestasi syarikat.
Selain itu, Fibromat katanya, sudah memiliki lengkap tiga elemen asas penting sebagai kontraktor untuk meraih tender besar iaitu kepakaran teknikal, keupayaan kewangan, dan rumusan reka bentuk.
Beliau menambah, landskap perolehan kerajaan kini lebih menuntut syarikat perlu menyediakan bukti keupayaan secara menyeluruh termasuk jentera, tenaga kerja, sokongan kewangan, dan reka bentuk.
Syarat itu kata Kian Boon, perlu sebelum layak menyertai tender dan jika berjaya, kontrak baharu menambah baki kontrak belum dibil RM367.83 juta serta tempahan jualan belum dibil RM19.88 juta.
"Bagaimanapun, sumbangan kepada keuntungan tidak akan dilihat serta-merta kerana pada kebiasaannya, kitaran tender ke penganugerahan dan pelaksanaan projek mengambil masa tiga tahun,” jelas beliau.
Antara projek dilaksanakan Fibromat setakat ini termasuk kerja infrastruktur Central Spine Road (anggaran RM280 juta), serta kerja perlindungan cerun Lebuhraya Pan Borneo Sabah (RM22 juta).
Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25), ia merekodkan untung bersih RM5.7 juta dengan hasil sebanyak RM31.4 juta, menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Tiada perbandingan langsung yang disediakan memandangkan ini adalah laporan kewangan kedua sejak pemindahan syarikat tersebut daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE di bursa pada 8 Mei 2025.
"Hasil syarikat meliputi 43% daripada perdagangan bahan geoteknikal, 42% daripada segmen reka bentuk dan pemasangan serta 15% daripada pembuatan," kata Ketua Pegawai Kewangan, Nadiah Firdaus.
Kedudukan kewangan Fibromat kekal sihat dengan nisbah hutang kepada ekuiti 0.2 kali dan nisbah semasa 2.8 kali, memberikan ruang kewangan selesa meraih pembiayaan tambahan jika ada projek besar.
Sejak penampilan sulung di Pasaran ACE, harga saham Fibromat meningkat lebih 30% dan dengan asas kewangan yang kukuh, ia dilihat bersedia melonjak ke fasa pertumbuhan baharu. - DagangNews.com
standard

