Inta Bina di landasan tepat capai penambahan kontrak RM1 bilion pada FY25 - TA Securities

26/08/2025 - 12:55
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Inta Bina Group Berhad berada di landasan tepat untuk mencapai penambahan kontrak sebanyak RM1 bilion pada FY25 disokong pemulihan sektor hartanah domestik, kata TA Securities.
Katanya, prospek penambahan semula buku tempahan kumpulan dilihat positif dibantu pengumuman projek kediaman yang akan memuncak pada 4QFY25 seiring dengan trend industri semasa.
"Setakat ini, kumpulan itu berjaya memperoleh RM467 juta dalam bentuk kontrak baharu, iaitu 46.7% daripada sasaran tahunan yang ditetapkan.
"Pencapaian ini memberikan petunjuk awal kumpulan berada di landasan yang baik untuk mencapai, atau bahkan melepasi, unjuran RM1 bilion menjelang akhir tahun kewangan," katanya dalam satu nota kajian.
Kumpulan itu mencatatkan nilai buku tempahan pembinaan sebanyak RM1.3 bilion, bersamaan dua kali ganda daripada hasil pembinaan FY24, sekali gus menjamin keterlihatan pendapatan kumpulan hingga tahun 2028.
Tambahan pula, kumpulan mempunyai jualan hartanah belum dibil sebanyak RM64.7 juta, yang turut menyumbang kepada kestabilan aliran hasil dalam tempoh dua tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sebelum ini mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM18.5 juta untuk separuh pertama FY25, iaitu 42.9% daripada unjuran tahun penuh, menunjukkan prestasi yang seiring dengan jangkaan.
Katanya, keuntungan itu dijangka terus meningkat pada separuh kedua tahun berikutan pengebilan kemajuan yang lebih kukuh daripada projek-projek yang baru dimenangi.
TA Securities mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.00 sesaham, berdasarkan 11 kali anggaran pendapatan tahun 2026.
Katanya, saham itu juga menawarkan hasil dividen menarik sebanyak 5.6%, berasaskan anggaran pembayaran dividen FY25 sebanyak 2.5 sen sesaham. - DagangNews.com
standard
