
ZURICH: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendakwa berlaku usaha berterusan dan terancang untuk menjatuhkan badan induk bola sepak dunia itu serta presidennya, Gianni Infantino ketika kontroversi membabitkan rancangan pelaburan swasta Piala Dunia terus memuncak.
Dalam kenyataannya, FIFA menegaskan, pihaknya terbuka terhadap penelitian dan kritikan yang sah, namun tidak akan berdiam diri terhadap dakwaan tidak berasas atau laporan yang didakwa mengelirukan.
“Laporan terkini mengandungi dakwaan tidak berasas dan tuntutan yang jelas palsu mengenai FIFA dan presidennya,” kata badan itu.
Tekanan turut meningkat selepas akhbar Britain, The Telegraph mendakwa Infantino ketika menjawat Setiausaha Agung Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dari 2009 hingga 2016 pernah menggunakan pengaruhnya untuk membantu kenaikan pangkat seorang pekerja yang didakwa mempunyai hubungan intim dengannya.
Laporan itu turut mendakwa individu berkenaan menerima bayaran enam angka selepas meninggalkan UEFA selain yuran pengajian program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bernilai kira-kira RM260,000.
UEFA mengesahkan kepada AFP bahawa bayaran pemberhentian memang dibuat kepada individu terbabit, selain kos pengajian MBA di sebuah sekolah perniagaan tempatan.
UEFA sebelum ini mengekalkan ancamannya untuk memboikot Piala Dunia selepas menganggap pembatalan rancangan itu sahaja belum memadai untuk meredakan kebimbangan mereka. – AGENSI/UTUSAN
The post FIFA dakwa serangan terancang terhadap Infantino appeared first on Utusan Malaysia.

