
LONDON, 26 NOV: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjadi mangsa serangan siber, namun pencerobohan data itu tidak melibatkan dokumen berkaitan rancangan pelaburan swasta Piala Dunia yang mencetuskan kontroversi besar, lapor PA Media/dpa.
Difahamkan bahawa beberapa individu baru-baru ini memperoleh akses kepada data dengan menyamar sebagai kakitangan FIFA, bukannya mengeksploitasi kelemahan dalam sistem keselamatan siber badan induk bola sepak itu.
Kumpulan Handsome Boy Hacking Club mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan memuat naik tangkap layar bagi menyokong dakwaannya menerusi akaun X pada 19 Nov.
PA difahamkan bahawa analisis dalaman yang dijalankan FIFA mendapati penggodaman itu melibatkan 0.1 peratus daripada keseluruhan data yang disimpan oleh organisasi berkenaan dan tiada dokumen berkaitan cadangan FIFA Forward Enterprise (FFE) diperoleh.
Presiden FIFA Gianni Infantino terpaksa menggugurkan cadangan itu pada Ogos selepas tiga konfederasi bola sepak benua menolaknya.
Cadangan itu bertujuan mendapatkan pelaburan swasta dalam sebuah syarikat yang akan mengawal hak komersial Piala Dunia dan pertandingan FIFA yang lain.
FIFA sejak itu telah menjemput anggota Majlis FIFA ke ibu pejabatnya di Zurich untuk meneliti dokumen berkaitan FFE.
Pengerusi Persatuan Bolasepak England (FA) yang juga Naib Presiden FIFA Debbie Hewitt difahamkan telah menerima jemputan itu dan meneliti dokumen berkenaan pada Selasa.
Protokol ketat dilaksanakan, termasuk keperluan untuk menyerahkan telefon bimbitnya sebelum meneliti dokumen berkenaan serta menandatangani perjanjian kerahsiaan.
Mengesahkan serangan siber itu, jurucakap FIFA berkata: “FIFA mengesahkan bahawa pihaknya menjadi mangsa serangan siber jenayah yang mengakibatkan akses tanpa kebenaran kepada sejumlah kecil maklumat peribadi dan perniagaan.
“FIFA sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang.
“FIFA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan memperoleh dan menyiarkan maklumat secara tidak sah, khususnya data peribadi. Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran privasi yang serius dan tidak boleh diterima serta boleh membawa kesan besar kepada individu terbabit.”




