FIFA Senarai JDT Antara Pasukan Berpotensi Layak Beraksi Di Piala Dunia Kelab 2025

25 Dec 2023 • 5:05 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyenaraikan pasukan bolasepak Johor Darul Takzim (JDT) sebagai antara kelab yang berpotensi untuk beraksi di Piala Dunia Kelab 2025.

Skuad Harimau Selatan berada di rangking ke-11

Perkara tersebut dinyatakan menerusi media sosial FIFA apabila badan induk itu menyenaraikan skuad Harimau Selatan sebagai antara pasukan berpotensi untuk bersaing di kancah berprestij itu selepas empat slot diberikan untuk pasukan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Menerusi posting yang dibuat FIFA, JDT berada di tangga ke-11 dalam kalangan pasukan AFC apabila menghimpun 38 mata namun tidak boleh menambah sebarang mata lagi pada musim ini selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara Asia (ACL).

 

Piala Dunia Kelab 2025 beri 4 slot dari AFC

Daripada empat slot yang diberikan, tiga slot akan diisi oleh juara Asia dengan dua slot terbabit sudah menjadi milik juara edisi 2021, Al-Hilal dan juara edisi 2022, Urawa Red Diamonds.

Juara ACL 2023/24 akan turut mendapat slot ke Piala Dunia Kelab FIFA 2025 sementara satu slot lagi mengikut ranking pasukan.

Piala Dunia Kelab 2025 guna piawaian baru

Difahamkan, FIFA akan menggunakan metodologi dengan piawaian terbaharu bagi memastikan kualiti tertinggi berdasarkan kepada kriteria sukan untuk empat musim terbaharu, bermula daripada saingan peringkat kumpulan bagi setiap pertandingan benua.

Tiga mata diberikan untuk kemenangan, satu mata untuk keputusan seri sementara tiga mata lagi jika pasukan terbabit berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

Bagi format pertandingan, saingan peringkat kumpulan akan menampilkan lapan kumpulan dengan empat pasukan yang akan berentap dengan format ’round robin’.

image is not available

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke pusingan 16 dan hanya satu perlawanan akan berlangsung bermula peringkat kalah mati sehinggalah ke final.

Bagi pembahagian slot, Eropah mendapat slot terbanyak dengan 12 pasukan diikuti Amerika Selatan (enam pasukan), Amerika Utara, Afrika dan Asia (empat pasukan) sementara Oceania dengan satu slot.

 

Sebagai rekod, Piala Dunia Kelab FIFA 2025 akan menampilkan 32 pasukan buat kali pertama dan akan berlangsung di Amerika Syarikat.

Sumber: X FIFA.com