FIFA tarik balik penggantungan Persekutuan Bola Sepak Pakistan

LocalFootball
3 Mar 2025 • 10:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
FIFA tarik balik penggantungan Persekutuan Bola Sepak Pakistan. Gambar fail

BOLA sepak Pakistan kembali bernafas lega apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas Persekutuan Bolasepak Pakistan (PFF).

Keputusan ini menandakan berakhirnya episod suram buat sukan bola sepak di negara itu, yang sebelum ini terjejas akibat konflik dalaman dan campur tangan pihak luar.

Langkah FIFA ini diambil susulan kejayaan PFF meluluskan pindaan perlembagaan baharu, yang telah disahkan dan dipersetujui oleh badan induk bola sepak dunia itu sendiri serta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Pindaan ini, yang diluluskan dalam kongres luar biasa di Lahore, dilihat sebagai bukti komitmen PFF untuk mematuhi piawaian dan peraturan yang ditetapkan oleh FIFA.

“Biro Majlis FIFA memutuskan pada 2 Mac 2025 untuk menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas Persekutuan Bolasepak Pakistan (PFF) pada 6 Februari 2025,” kata FIFA dalam kenyataan rasmi mereka.

Sebelum ini, PFF telah beberapa kali dikenakan penggantungan oleh FIFA, termasuk pada tahun 2017 dan 2021, akibat gangguan pihak ketiga.

Penggantungan terakhir ditarik balik pada Jun 2022 selepas jawatankuasa normalisasi PFF berjaya mengembalikan kawalan penuh ke atas premis dan kewangan persekutuan.

Dengan penarikan balik penggantungan ini, PFF kini boleh kembali fokus kepada pembangunan bola sepak di Pakistan.

Mereka juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa yang dianjurkan oleh FIFA dan AFC.

“Kami berterima kasih kepada FIFA dan AFC atas sokongan berterusan mereka terhadap bola sepak Pakistan dan mengucapkan tahniah kepada komuniti bola sepak Pakistan,” tulis PFF di platform media sosial X.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved