Sekiranya anda tergolong dalam kumpulan insan yang pernah menggunakan pemain cakera padat (CD) mudah alih, tahniah anda kini usia semakin lanjut dan sebuah teknologi klasik dari zaman anda muda remaja kini kembali. Fiio, syarikat pengeluar aksesori audio dari China telah melancarkan Fiio DM13 yang merupakan pemain CD mudah alih moden dengan sokongan bluetooth.

Fiio DM13 boleh memainkan semua muzik CD dan juga fail audio MP3, FLAC, WAV, AAC, dan WMA. Kerana ia sebuah pemain muzik moden, ia turut mempunyai sokongan fon kepala dan telinga bluetooth. Bagi yang inginkan audio lebih baik, terdapat bicu 3.5mm dan 4.4mm balanced.

Bagi memastikan audio yang dihantar secara nirwayar adalah berkualiti tinggi, codec AptX, AptX HD, AptX Low Latency, dan SBC disokong. DM13 boleh disambungkan juga kepada sistem audio menerusi kabel, SPDIF dan USB. Bateri terbina yang digunakan mampu memberikan pengalaman penggunaan sehingga 8 jam. Tidak lagi perlu risau membeli bateri AA seperti era Sony Discman.
Terdapat mod pintas bateri apabila DM13 disambungkan kepada sumber kuasa luaran. Dengan ini boleh beroperasi tanpa risau memberikan impak negatif terhadap bateri. DM13 ialah sebuah lagi usaha Fiio untuk menawarkan pemain audio klasik kerana sebelum ini mereka menjual pemain kaset CP13.
Fiio DM13 dijual pada harga $179 dalam warna perak bermula September depan sebelum kemudian akan ditawarkan juga dalam warna merah, titanium, dan hitam.

