Format filem IMAX sudah wujud sejak 1970 dengan ia menggunakan filem 70 x 48.5 mm yang lebih besar berbanding filem 35mm. Menerusinya bingkai gambar 1.43:1 digunakan dan ia menghasilkan imej yang lebih tajam pada skrin panggung wayang IMAX. Filem The Odyssey oleh Christopher Nolan yang sedang dalam proses penggambaran akan menjadi filem penuh pertama dirakam sepenuhnya menggunakan kamera IMAX.

Selama ini kamera IMAX digunakan untuk filem pendek, dokumentari, dan konsert sahaja. Kamera IMAX menghasilkan bunyi yang bising dan bersaiz amat besar menyebabkan rakaman babak dialog tidak boleh dilakukan menggunakannya. Untuk The Odyssey, Nolan meminta IMAX menghasilkan kamera baharu yang bersaiz lebih kecil dan beroperasi lebih senyap membolehkan keseluruhan filem dirakam nisbah 1.43:1. Kamera baharu untuk The Odyssey dilaporkan beroperasi 30% lebih senyap.
Christopher Nolan boleh diberikan kredit mempopularkan penggunaan format IMAX dalam filem moden. The Dark Knight dan Oppenheimer ialah dua contoh filem beliau yang mempunyai beberapa babak IMAX. Selain Nolan, format ini juga digunakan oleh pengarah seperti Ryan Coogler dan Dennis Villeneuve.


