Filipina pilih Zetrix AI bangunkan infrastruktur blockchain nasional

WorldTechnology
8 Jul 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Filipina pilih Zetrix AI bangunkan infrastruktur blockchain nasional Image from: Filipina pilih Zetrix AI bangunkan infrastruktur blockchain nasional johardy08/07/2026 - 09:00 Dari kiri: Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah dari My Blockchain Infrastructure Sdn Bhd; Setiausaha Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (DICT) Filipina, Henry R. Aguda, dan Pengerusi Zetrix Philippines Inc., Ronald Allan M. Aquino pada majlis menandatangani MoU di Manila pada 7 Julai 2026. Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Julai – Zetrix AI Berhad memeterai perjanjian awal dengan kerajaan Filipina bagi membangunkan infrastruktur rantaian blok awam negara itu, sekali gus memperluaskan penglibatan syarikat dalam ekosistem teknologi rantaian blok di Asia Tenggara.

 

Dengan kerjasama terbaharu itu, Filipina akan menjadi negara kedua yang menggunakan protokol Zetrix bagi membangunkan infrastruktur rantaian blok kebangsaan selepas Malaysia.

 

Zetrix AI berkata, memorandum persefahaman (MoU) itu dimeterai antara tiga pihak iaitu anak syarikatnya, Zetrix Philippines Inc.; My Blockchain Infrastructure Sdn Bhd – syarikat usaha sama antara Zetrix AI dan agensi penyelidikan serta pembangunan nasional Malaysia, Mimos Berhad; serta Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Filipina.

 

Kerjasama itu akan menyaksikan pembangunan aplikasi rantaian blok bagi membolehkan kesalingoperasian rentas sempadan antara sistem identiti digital kebangsaan Malaysia dan Filipina.

 

Selain itu, inisiatif berkenaan turut meliputi pengeluaran, pengesahan dan pengesahan ketulenan kelayakan rasmi yang dikeluarkan kerajaan Filipina, selain menyokong kemudahan perdagangan rentas sempadan.

 

Protokol Zetrix

Protokol Zetrix kini menjadi rantaian asas kepada Infrastruktur Rantaian Blok Malaysia (MBI) yang dilancarkan pada April 2025.

 

Zetrix AI turut mengendalikan nod super antarabangsa kepada Infrastruktur dan Kemudahan Rantaian Blok Xinghuo China bagi menyokong perkhidmatan pengesahan digital serta perdagangan rentas sempadan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata, kerjasama itu merupakan satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan visi syarikat untuk membangunkan ekosistem rantaian blok bersepadu di rantau ini.

 

"Detik penting ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam merealisasikan visi kami untuk membawa negara-negara di rantau ini ke dalam ekosistem bersepadu yang sama, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi menerusi kerjasama serantau yang lebih kukuh," katanya.

 

Zetrix AI telah beroperasi di Filipina hampir sedekad dengan menyediakan perkhidmatan kerajaan digital kepada beberapa agensi termasuk Biro Hasil Dalam Negeri, Biro Siasatan Kebangsaan, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa, Pihak Berkuasa Pelabuhan Filipina serta Biro Perikanan dan Sumber Akuatik.

 

Saham Zetrix AI ditutup rendah setengah sen atau 0.66% kepada 75.5 sen pada Selasa, memberikan kumpulan itu yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Berhad, permodalan pasaran sebanyak RM6.08 bilion. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved