
Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh dramatik di Litar Kart Antarabangsa Sepang, terutamanya dalam perebutan tempat ke Kejuaraan Siri Dunia MiniGP di Valencia, Sepanyol hujung tahun ini.
Kategori FIM MiniGP 190cc: Qabil Irfan Sempurna Musim dengan ‘Perfect 10’
Pelumba muda berbakat dari Terengganu, Qabil Irfan Azlan (#1), mencipta sejarah apabila menamatkan musim dengan pungutan maksimum 250 mata, hasil kemenangan dalam kesemua 10 perlumbaan musim ini – satu pencapaian yang belum pernah berlaku dalam sejarah FIM MiniGP Malaysia.
Dominasi mutlak Qabil bukan sahaja mengesahkan gelaran juara keseluruhan 2025, malah melayakkan beliau ke pentas dunia di Valencia. Turut menyertainya ialah Adam Aiman, pelumba berusia 13 tahun yang menamatkan musim sebagai naib juara (163 mata) selepas pencabar utama, Qayyim Razin, mengalami kemalangan dalam Race 1 dan menamatkan musim di tempat ketiga dengan 146 mata.
“Saya akan terus berlatih kerana cabaran di Eropah lebih besar. Kita tak boleh selesa,” kata Qabil.
Kategori FIM MiniGP 160cc: Al-Adam Mikail Pertahan Rekod Kejuaraan
Aksi konsisten dan tenang oleh Al-Adam Mikail membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan 2025 dengan 203 mata, hanya 2 mata mengatasi pencabar utama, Qasha Irfan (201 mata).
Al-Adam yang juga juara SIC Ohvale Junior Championship 2024, menunjukkan keupayaan tinggi menyesuaikan diri dalam pelbagai kategori, selepas memenangi kejuaraan 110cc pada musim lalu.
“Saya bangga kerana berjaya menang dua tahun berturut-turut. Fokus kini beralih ke Valencia,” katanya.
Pelumba muda, Nufayl Darwisy, turut menunjukkan peningkatan dan menamatkan musim di tempat ketiga dengan 132 mata.
SIC Ohvale Junior Championship: Arby Thoriq dari Indonesia Curi Tumpuan
Pelumba cilik dari Indonesia, Arby Thoriq, menampilkan aksi bertenaga untuk menjuarai musim ini dengan 195 mata, menewaskan pelumba tempatan Firash Naufal (155 mata) dan Ziqry Rayyan (122 mata).
Kejuaraan ini memperlihatkan peningkatan kualiti dan saingan pelumba muda di rantau ini, dengan Arby tampil sebagai antara bintang masa depan sukan permotoran Asia Tenggara.
RCB MiniMoto Championship: Fayyadh Anaqi Juara, Wan Haqim Raih Perhatian
Pelumba muda negara, Fayyadh Anaqi, muncul juara keseluruhan lebih awal dengan 161 mata, hasil prestasi cemerlang sejak awal musim.
Namun, tumpuan pusingan akhir terarah kepada Wan Haqim Al-Mahdi, yang meraih dua kemenangan berturut-turut dan menamatkan musim sebagai naib juara (135 mata). Tempat ketiga keseluruhan dimenangi oleh Faith Mikael (113 mata).
Dengan tamatnya musim 2025, Malaysia bakal diwakili oleh pelumba terbaik dalam siri dunia MiniGP di Valencia. Prestasi cemerlang pelumba-pelumba muda ini bukan sahaja mencerminkan bakat luar biasa, tetapi juga masa depan cerah sukan permotoran negara di persada antarabangsa.




The post FIM MiniGP Malaysia 2025 Melabuhkan Tirai dengan Aksi Penuh Dramatik di Sepang appeared first on TW Media.

