FINAS Sasar Lonjakan Produksi Global Melalui Kolaborasi FINAS-Tourism Malaysia

LocalEntertainment
1 Apr 2026 • 7:20 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

FINAS Sasar Lonjakan Produksi Global Melalui Kolaborasi FINAS-Tourism Malaysia

HULU KELANG, 1 April 2026 – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia  (FINAS) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Tourism  Malaysia dalam satu langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia  sebagai destinasi utama penggambaran antarabangsa melalui integrasi industri kreatif  dan pelancongan.

MoU ini ditandatangani oleh Dato Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bersama Encik Amirul Rizal Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

image is not available
Kredit: FINAS

Kerjasama ini menandakan pendekatan baharu yang memanfaatkan kandungan filem dan televisyen sebagai medium strategik dalam mempromosikan keunikan budaya, warisan serta destinasi pelancongan Malaysia kepada pasaran global.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2013 hingga 2025, Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) telah menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan industri perfileman negara dengan pencapaian memberangsangkan.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 243 produksi telah diluluskan, merangkumi 129 produksi tempatan dan 114 produksi antarabangsa.

"Inisiatif ini berjaya menjana perbelanjaan langsung berjumlah RM2.86 bilion serta mewujudkan lebih 31,050 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang berkaitan industri kreatif," ujarnya.

Baca juga:

Lebih signifikan, pelaksanaan FIMI turut menghasilkan anggaran kesan limpahan ekonomi melebihi RM8 bilion, melibatkan sektor sokongan seperti perhotelan, pengangkutan, makanan dan minuman, pelancongan serta perkhidmatan tempatan.

Pencapaian ini membuktikan bahawa industri perfileman bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif, malah memberi impak langsung yang menyeluruh terhadap ekosistem ekonomi negara secara menyeluruh.

image is not available
Kredit: FINAS

Selain itu, kejayaan Malaysia menarik produksi antarabangsa turut memperkukuh jenama negara sebagai destinasi "screen tourism".

Antara contoh signifikan termasuk penggambaran produksi antarabangsa berprofil tinggi seperti filem Hollywood Thunderbolts terbitan Marvel Studios, yang menjalankan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur termasuk mercu tanda ikonik Merdeka 118, sekali gus mempromosikan imej Malaysia di pentas global.

Selain itu, pelbagai produksi antarabangsa turut memanfaatkan keunikan lokasi Malaysia daripada hutan tropika hingga bandar moden, termasuk drama siri Lord of the Flies yang menjalankan penggambaran di Langkawi untuk BBC.

Produksi sebegini bukan sahaja meningkatkan visibiliti Malaysia, malah memberi nilai promosi pelancongan yang sukar ditandingi melalui pendekatan konvensional.

Selaras dengan momentum ini, semasa penyertaan di Hong Kong FILMART pada Mac 2026, FINAS melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi rebat FIMI untuk tempoh lima tahun akan datang sebagai komitmen berterusan kerajaan dalam menarik lebih banyak produksi antarabangsa berkualiti tinggi ke Malaysia.

Melalui MoU ini, FINAS akan menerajui pembangunan kandungan kreatif berimpak tinggi yang menonjolkan keunikan Malaysia.

Selain itu, Tourism Malaysia akan menyediakan akses kepada aset promosi strategik termasuk bahan visual kempen, kempen nasional dan platform global seperti Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Sinergi ini dijangka memperkukuh pendekatan pemasaran negara melalui kandungan (content-driven nation branding), selaras dengan trend global yang menggabungkan industri kreatif dan pelancongan.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh ekonomi kreatif sebagai sektor berimpak tinggi dan berdaya saing.

Kerjasama yang terjalin dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan produksi antarabangsa, pembangunan projek kandungan bersama, penyertaan lebih aktif dalam pasaran kandungan global serta peluasan peluang pekerjaan dalam industri kreatif tempatan.

image is not available
Kredit: FINAS

Dalam masa yang sama, sektor pelancongan terus kekal sebagai antara pemacu utama ekonomi negara.

Hasil usaha serta komitmen berterusan rakan industri dan semua pihak berkepentingan, Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus dalam ketibaan pelawat antarabangsa pada tahun 2025, dengan jumlah keseluruhan mencecah 42.2 juta pelawat berbanding tahun sebelumnya.

Pencapaian ini turut disokong oleh inisiatif strategik termasuk peranan aktif Tourism Malaysia dalam mempromosikan negara di peringkat global, selain kolaborasi rentas sektor yang memanfaatkan sinergi antara industri kreatif dan pelancongan bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi utama sempena Visit Malaysia 2026 (VM2026).