hamden23/04/2026 - 13:00 KUALA LUMPUR 23 April - Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd menegaskan akan mempertahankan diri terhadap tindakan undang-undang yang difailkan oleh Steel Hawk Bhd berhubung dakwaan penipuan dan pecah amanah.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, syarikat milik persendirian itu menafikan sepenuhnya semua dakwaan yang dikemukakan, sambil menyifatkannya sebagai tidak berasas.
“Ibrahim & Sons menafikan secara tegas segala tuduhan yang dibuat dan menegaskan bahawa ia tidak berasas,” menurut kenyataan tersebut.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa perjanjian kerjasama dengan Steel Hawk sebelum ini telah ditamatkan berikutan pelanggaran syarat oleh pihak berkenaan.
Sehubungan itu, Ibrahim & Sons memaklumkan bahawa ia sedang mengambil langkah undang-undang sewajarnya termasuk memfailkan tuntutan balas terhadap tindakan yang dimulakan oleh Steel Hawk, selain telah membuat laporan polis berhubung isu tersebut.
Pada 21 April lalu, Steel Hawk mengumumkan telah memulakan prosiding undang-undang terhadap Ibrahim & Sons serta beberapa pihak lain berhubung dakwaan pelanggaran amanah, penyelewengan dana dan salah nyata dalam satu kerjasama kejuruteraan.
Dalam saman tersebut, Steel Hawk menuntut sekurang-kurangnya RM14.39 juta daripada Ibrahim & Sons, Always Ahead Engineering Sdn Bhd serta tiga individu iaitu Zafrin Ibrahim, Zulkflee Ibrahim dan Khaeromze Ahmad.
Tindakan undang-undang itu berpunca daripada perjanjian yang dimeterai pada Julai 2025, di mana Ibrahim & Sons dilantik sebagai kontraktor utama bagi beberapa projek kejuruteraan untuk Tenaga Nasional Bhd, manakala Steel Hawk bertindak sebagai penyedia modal kerja dan pembiayaan dengan pulangan melalui bayaran balik serta perkongsian keuntungan.
“Ibrahim & Sons yakin fakta sebenar akan dibuktikan melalui proses perundangan dan perkara ini akan diselesaikan mengikut saluran yang sewajarnya,” kata firma kejuruteraan itu lapor The Edge.




