Firma modal teroka global Antler jalin kerjasama dengan Khazanah, sasar labur lebih 30 syarikat pemula di Malaysia
zulfadli
13/07/2023 - 12:47
KUALA LUMPUR 13 Julai - Syarikat modal teroka global, Antler meluaskan jejak antarabangsa di Malaysia menerusi kerjasama dengan Khazanah, untuk mengukuhkan lagi kehadirannya di enam buah benua yang merangkumi Asia Tenggara dengan kehadiran sedia ada di Singapura, Indonesia dan Vietnam.
Antler merupakan salah sebuah syarikat pelaburan peringkat awal yang paling aktif di peringkat global dan telah melabur dalam lebih 792 buah syarikat di 26 buah bandar raya di seluruh dunia dengan nilai portfolio terkumpul sebanyak AS$3.7 bilion.
Kerjasama bersama Antler merupakan pelaksanaan terbaru bagi sebuah inisiatif di bawah Dana Impak dikenali sebagai 'Future Malaysia Programme' untuk menyokong ekosistem pemula tempatan yang terdiri daripada usahawan, syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat melalui kerjasama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.
Dana Impak ialah komitmen sebanyak RM6 bilion dalam tempoh 5 tahun dan merupakan tonggak utama di bawah strategi Khazanah ‘Advancing Malaysia’ untuk memajukan Malaysia.
Menerusi pejabat baharunya di Kuala Lumpur, Antler menyasarkan untuk melabur dalam lebih 30 buah syarikat pemula di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, kerjasama strategik bersama Antler membuka lembaran baharu dalam landskap keusahawanan Malaysia dan membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi Khazanah untuk memperkenalkan rumusan inovatif dan berkesan.
Katanya, ini menjadi satu lagi langkah ke hadapan untuk 'Future Malaysia Programme' yang bertujuan untuk mengembangkan idea dan perniagaan Malaysia supaya dapat berdaya saing di peringkat global.

"Kami akan terus mengenal pasti rakan kongsi berpotensi yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti, kepakaran dan cadangan nilai strategik untuk menyertai kami dalam membentuk dan memperkasakan generasi usahawan Malaysia akan datang melalui program ini.
"Kami menawarkan sokongan menyeluruh sepanjang kitar hayat pendanaan, bermula daripada peringkat awal sehingga ke peringkat pembangunan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan Asia Antler, Jussi Salovaara berkata, pihaknya berada dalam misi untuk menambah baik dunia dari dasar dengan menyokong dan melabur dalam bakat-bakat paling luar biasa di dunia bermula dari ‘Day Zero investing’ hinggalah syarikat pemula memperoleh kejayaan.

"Para pengasas dapat mengembangkan syarikat mereka dengan lebih pantas bersama Antler, yang mana mereka boleh membina pasukan yang luar biasa, menyertai komuniti pengasas global dan mengakses modal untuk mempercepatkan perkembangan.
"Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Khazanah bagi membuka peluang ini untuk para usahawan di Malaysia," katanya.
Dengan menggunakan rangkaian pelabur, pengasas dan penasihat global Antler, kerjasama ini akan membuka peluang baharu dalam dunia keusahawanan Malaysia, seterusnya mempercepatkan kemajuan para usahawan dan syarikat pemula Malaysia bagi mendorong mereka ke arah pengembangan dan kejayaan antarabangsa. - DagangNews.com


