GEORGE TOWN - Bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng merujuk dakwaan fitnah yang mengaitkan dirinya dengan kelulusan projek pembangunan di Taman Seri Rambai, Paya Terubong kepada peguamnya untuk tindakan perundangan.
Beliau mendakwa, maklumat palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu bertujuan menimbulkan kemarahan awam terhadapnya, susulan tragedi runtuhan tanah cerun yang mengorbankan seorang doktor berusia 73 tahun pada 25 Oktober lalu.
Guan Eng (DAP-Air Putih) berkata, dakwaan bahawa projek berkenaan diluluskan olehnya ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang daripada 2008 hingga 2018 adalah tidak benar.
“Saya telah merujuk maklumat palsu dan fitnah berniat jahat ini kepada peguam saya. Jelas pihak tidak bertanggungjawab ini sengaja ingin menimbulkan kemarahan awam ke atas saya.
“Saya akan berusaha membersihkan nama baik saya menerusi saluran perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.
Menurutnya, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan dakwaan berkenaan sebanyak lapan kali menerusi beberapa laman sesawang.
Beliau berkata, seorang penduduk di kawasan berkenaan turut menghantar gambar papan tanda projek yang menunjukkan pelan kebenaran merancang diluluskan pada 2023 manakala pelan kerja tanah dan pelan bangunan diluluskan pada 2024.
“Pada tahun 2023 dan 2024, saya sudah bukan Ketua Menteri Pulau Pinang ataupun Menteri Kewangan.
“Saya membuat pencerahan ini atas nasihat rakan media yang memang terpedaya oleh fitnah jahat ini dan mempercayai bahawa sayalah yang meluluskan projek ini,” katanya.
Guan Eng turut menjelaskan bahawa pemaju semasa projek berkenaan ialah Sunrich Conquest Sdn Bhd manakala Geo Valley Sdn Bhd merupakan pemilik tanah.
Sebelum ini, dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi Ahad, seorang doktor, Wong Kar Lin maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang turut menjejaskan kediamannya.
Isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68 dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, 80-an bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.
Susulan kejadian itu, arahan pengosongan serta-merta dikeluarkan terhadap enam rumah berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penduduk.
Bagaimanapun, penghuni bagi dua daripada enam rumah berkenaan dibenarkan pulang semula selepas pihak berkuasa mengesahkan keadaan kediaman mereka selamat untuk diduduki.
Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng menggesa kerajaan negeri menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Negeri (SCI) bagi menyiasat secara menyeluruh punca tragedi runtuhan berkenaan.
Katanya, siasatan itu perlu dijalankan secara bebas, profesional dan adil bagi memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya.
Beliau berkata, tanggungjawab tidak seharusnya terhad kepada pemaju dan pemilik tanah semata-mata sebaliknya turut melibatkan pihak lain yang mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan.

