
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (20 Oktober), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah mengesahkan pembatalan pendaftaran parti gabungan Perikatan Nasional (PN).
Pembatalan itu dibuat oleh RoS selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan oleh PN gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis yang diberikan.
Jelas RoS, keputusan pembatalan itu dibuat mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) setelah meneliti dokumen dan representasi yang dikemukakan oleh PN pada 12 Oktober lalu.
Baca Artikel Berkaitan: Gagal Sangkal Pembatalan Dalam Notis, RoS Batalkan Pendaftaran PN
Pembatalan PN Bertentangan Dengan Pendirian Asal RoS Seperti Kandungan Surat Bertarikh 6 Oktober
Malam tadi, Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan pembatalan pendaftaran PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan kerajaan tidak berani berdepan dengan pembangkang menerusi persaingan demokrasi yang adil.
Jelas Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, keputusan itu jelas bertentangan dengan pendirian asal RoS seperti yang terkandung dalam surat bertarikh 6 Oktober 2026.
Berdasarkan surat berkenaan, isu-isu yang dibangkitkan oleh PN akan dijawab dalam prosiding semakan kehakiman di peringkat mahkamah.
“Setelah Mahkamah Tinggi pada 13 Oktober menetapkan pendengaran secara dua pihak pada 22 Oktober, PN telah menulis kepada RoS pada 14 Oktober supaya tiada tindakan diambil sebelum pendengaran tersebut namun surat itu tidak dijawab oleh RoS.
“Malah sehari sebelum perintah pembatalan dikeluarkan, iaitu pada 19 Oktober, pihak Peguam Negara sendiri menyatakan dalam hujahan kepada mahkamah bahawa proses pembatalan masih berjalan.
“Namun RoS tetap membatalkan pendaftaran PN, dua hari sebelum Mahkamah Tinggi bersidang,” katanya.
Hamzah Dakwa Pembatalan PN Dibuat Berdasarkan 2 Tafsiran Berbeza
Malah, Hamzah turut mengecam pembatalan berkenaan kerana berpendapat ia dibuat berdasarkan dua tafsiran yang berbeza oleh RoS menerusi Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.
Jelasnya, empat Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Julai lalu telah membuat aduan kepada RoS dan mempersoalkan kuorom mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti terbabit.
Namun, jawapan RoS dalam surat bertarikh 16 Julai telah merujuk kepada Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dan menetapkan keputusan parti tersebut mengenai urusan dalamannya adalah muktamad.
“RoS turut menyerahkan perkara tersebut untuk diputuskan secara dalaman mengikut perlembagaan parti dan menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan.
“Namun apabila Bersatu membuat aduan terhadap PN, RoS tidak lagi menyerahkan tafsiran tersebut kepada parti, sebaliknya mentafsir sendiri Fasal 7.1 Perlembagaan PN, menolak tafsiran PN, lalu membatalkan pendaftarannya
“Undang-undang yang sama, jabatan yang sama tetapi tafsiran berbeza mengikut pihak yang terlibat,” katanya.
Hamzah Dakwa Tindakan RoS Pilih Hukuman Paling Berat Jelas Mengandungi Niat Jahat, Wawasan Tolak Keputusan Pembatalan PN
Dakwa bekas Timbalan Presiden Bersatu itu lagi, tindakan RoS yang mentafsir undang-undang dengan cara berbeza mengikut pihak terlibat serta memilih hukuman yang paling berat tanpa memberi penjelasan menggambarkan keputusan tersebut mempunyai unsur ‘mala fide’ iaitu berniat jahat yang jelas.
Tambahnya lagi, Wawasan menolak keputusan terbabit dan akan mempertahankan hak serta mandat rakyat menerusi saluran undang-undang yang akan bermula di mahkamah pada 22 Oktober ini.
“Seluruh ahli dan penyokong turut diseru supaya kekal tenang serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut memaklumkan gabungan parti itu akan mencabar keputusan pembatalan parti terbabit.
Malah, pihaknya akan memohon pelaksanaan serta kesan pembatalan tersebut ditangguhkan sementara bagi menunggu penentuan mahkamah.
Pun begitu, beliau pada malam tadi tidak menolak kemungkinan akan ada PN baharu yang ditubuhkan oleh pihak tertentu.
“Pihak ini sudah tentulah yang mempunyai hubungan baik dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kerana pertubuhan itu yang akan memutuskan sama ada lulus atau sebaliknya.
“Tidak mengapa, ambillah. Mungkin dia boleh mengajak mana-mana parti yang mereka baik menyertai gabungan baharu itu.
“Ini saya hanya dengar orang berkata, saya tidak tahulah sejauh mana kebenarannya,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Baca Artikel Berkaitan: PN Bakal Cabar Keputusan RoS Batalkan Pendaftaran Di Mahkamah – Takiyuddin
Baca Artikel Berkaitan: PRN Johor: Muhyiddin Ajak Rakyat Kenang Jasa PN, Urus Negara Ketika Covid-19






