
PERIBAHASA Melayu ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ mengingatkan kita tentang bahaya kata-kata yang mampu merosakkan hubungan sesama manusia.
Namun, dalam era digital, lidah bukan lagi satu-satunya saluran untuk melontarkan penghinaan. Jemari yang menari di papan kekunci turut menjadi senjata untuk mencetuskan polemik, menyebarkan fitnah dan menjatuhkan maruah orang lain.
Fenomena ini bukan sekadar mencerminkan kelemahan etika penggunaan internet, malah menggambarkan krisis adab dan keruntuhan moral yang boleh membawa kepada muflis pahala.
Di Malaysia, ruangan komen portal berita dan akaun media sosial tokoh awam sering dicemari budaya buli siber. Perbezaan pandangan politik, rasa tidak puas hati dan perdebatan mengenai isu sensitif dijadikan alasan untuk mencaci serta menghina pihak lain.
Lebih membimbangkan, ada pengguna yang memetik ayat al-Quran dan hadis untuk mempertahankan pendirian, sedangkan tulisan mereka dipenuhi kata-kata kesat. Hakikatnya, kebenaran tidak perlu ditegakkan dengan penghinaan kerana hujah yang bernas seharusnya disampaikan secara beradab.
Tokoh pemikiran Islam, Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, memperkenalkan konsep ta’dib yang menekankan pembentukan adab dalam kehidupan manusia. Beliau melihat kehilangan adab sebagai antara krisis besar umat Islam. Tanpa adab, manusia gagal meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya.
Lambakan maklumat di internet pula boleh menyebabkan seseorang berasa dirinya berpengetahuan, lalu mudah menghukum dan mencerca orang lain tanpa pertimbangan. Keadaan ini memperlihatkan bagaimana ilmu yang tidak dipandu adab boleh melahirkan sikap angkuh.
Cabaran tersebut semakin rumit dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI). Teknologi ini membolehkan kandungan palsu, rakaman suara tiruan dan video manipulasi (deepfake) dihasilkan dengan mudah.
Sentimen kaum, agama dan institusi raja (3R) juga boleh dieksploitasi untuk meraih perhatian serta kepentingan politik. Sementara fitnah mampu tersebar dalam beberapa saat, terutama apabila pengguna berkongsi maklumat tanpa menyemak kesahihannya.
Walaupun sesuatu hantaran dipadamkan, tanggungjawab terhadap perbuatan tersebut tetap tidak terhapus di sisi Allah SWT.
Dalam Islam, pertuturan lisan dan tulisan sama-sama mencerminkan keadaan hati serta akal seseorang.
Rasulullah SAW mengingatkan melalui hadis riwayat al-Bukhari bahawa seseorang boleh mengucapkan perkataan yang mengundang kemurkaan Allah tanpa menyedarinya, sehingga menyebabkan dirinya terjerumus ke dalam neraka.
Baginda turut menjelaskan dalam hadis riwayat Muslim tentang orang yang muflis, iaitu mereka yang membawa pahala solat, puasa dan zakat tetapi kehilangan ganjaran tersebut kerana pernah menghina, memfitnah serta menzalimi orang lain.
Pertanggungjawaban ini turut ditegaskan dalam Surah Yasin, ayat 65, yang menjelaskan pada hari akhirat, mulut manusia akan dikunci, manakala tangan dan kaki menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Setiap tulisan, komen dan perkongsian di alam maya tidak terlepas daripada perhitungan Allah. Oleh itu, kezaliman terhadap sesama manusia tidak selesai dengan sekadar memohon keampunan kepada-Nya, sebaliknya turut memerlukan kemaafan daripada pihak yang dizalimi.
Usaha membendung budaya ini perlu bermula dengan muhasabah diri dan amalan tabayyun sebelum berkongsi maklumat.
Pesanan Rasulullah SAW supaya orang beriman berkata baik atau diam wajar dijadikan panduan ketika berinteraksi di media sosial.
Pengguna perlu mengawal emosi, menyemak kesahihan sesuatu berita dan mengelakkan komen yang bertujuan memalukan orang lain.
Pada peringkat masyarakat pula, pendidikan literasi media dan etika digital perlu diterapkan sejak sekolah rendah.
Generasi muda bukan sahaja perlu menguasai kemahiran menggunakan AI, malah memahami tanggungjawab moral ketika memanfaatkannya.
Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta institusi perundangan perlu memperkukuh penguatkuasaan terhadap fitnah, berita palsu dan buli siber.
Kemajuan teknologi sepatutnya mematangkan peradaban, bukannya menghakis nilai kemanusiaan. Kemenangan dalam perdebatan maya tidak membawa makna jika akhirnya seseorang kehilangan pahala akibat menghina dan menzalimi orang lain. Setiap perkataan yang ditaip perlu ditimbang dengan neraca iman kerana jemari yang bebas bergerak di alam digital tetap memikul tanggungjawab di hadapan Allah SWT. -UTUSAN
MOHD. AMMYRUL ASHRAF SAIRAN
Pensyarah Kanan,
Unit Pengajian Islam dan Falsafah,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)
The post Fitnah digital menghakis adab appeared first on Utusan Malaysia.

