Perang jari dua negara, akal ke mana?

LocalEntertainment
23 Oct 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Perang jari dua negara, akal ke mana?

KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Pepatah ini mengingatkan kita bahawa luahan tanpa pertimbangan boleh mengundang padah. Dalam dunia media sosial, satu hantaran mampu mencetuskan polemik yang jauh lebih besar daripada isu asal.

Kontroversi Izara Aishah, Lesti Kejora dan Rizky Billar selepas Konsert Tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza membuktikan perkara itu. Isu layanan di belakang pentas melebar hingga mengheret netizen Malaysia dan Indonesia ke gelanggang kecaman.

Izara berhak berasa kecewa jika merasakan dirinya tidak dilayan dengan baik. Namun, membawa rasa tidak puas hati ke ruang awam bukan langkah bijak.

Sebagai figura awam, dia perlu sedar bahawa setiap hantaran boleh mencetuskan reaksi sukar dikawal.

Apatah lagi, netizen Malaysia dan Indonesia mutakhir ini rancak bertikam lidah. Dalam suasana sensitif, luahan sedemikian berisiko menambah bara. Persoalan layanan antara individu tidak sepatutnya bertukar menjadi pertarungan maruah dua negara.

Bertindak memadam hantaran tidak semestinya menghapuskan kesannya. Tangkapan layar terus beredar, persepsi terbentuk dan kecaman mengambil alih perbincangan. Di media sosial, sesuatu yang sudah tersebar sukar ditarik kembali.

Rizky juga perlu dinilai secara adil apabila membangkitkan dakwaan seorang pengawal peribadi bertindak kasar terhadap anaknya. Kebimbangan seorang bapa boleh difahami, tetapi dakwaan yang melibatkan pihak lain perlu ditangani dengan cermat agar pertikaian tidak terus melebar.

Malangnya, sebahagian netizen bertindak seolah-olah mengetahui keseluruhan kejadian. Ada yang mempertahankan Izara, manakala yang lain menyebelahi Lesti dan Rizky.

Izara kemudian memohon maaf dan meminta netizen menghentikan serangan terhadap keluarga Lesti. Lesti pula menjelaskan bahawa individu yang dikaitkan dengan salah faham itu bukan sebahagian daripada pasukan pengurusan rasminya, manakala Rizky turut memohon maaf kepada masyarakat Malaysia.

Penjelasan ini sepatutnya menamatkan pertikaian, bukannya membuka ruang kepada kecaman baharu.

Apabila serangan mula menyentuh rupa paras, keluarga dan identiti negara, jelaslah bahawa sebahagian netizen sudah tersasar daripada isu sebenar. Orang ramai berhak mengkritik selebriti andai tersalah kata atau laku, tetapi menghina rakyat negara lain kerana pertelingkahan individu tidak boleh dipertahankan.

Izara dan Rizky perlu bertanggungjawab atas tindakan masing-masing, namun netizen sepatutnya berhenti mengapi-apikan keadaan.

Kemelut ini bukan lagi sekadar soal layanan di belakang pentas. Ia memperlihatkan bagaimana pertikaian peribadi boleh dijadikan bahan untuk menyemarakkan sentimen kebangsaan sehingga isu asal tenggelam dalam perang komen.

Selebriti perlu berfikir sebelum meluahkan sesuatu kepada khalayak, manakala netizen perlu tahu batas antara menegur dengan menghina. Jangan kerana pertelingkahan beberapa individu, hubungan rakyat Malaysia dan Indonesia pula dijadikan taruhan.

The post Perang jari dua negara, akal ke mana? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved