
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersetuju membayar ganti rugi berjumlah RM50,000 kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA), susulan kenyataan berunsur fitnah yang dibuat selama ini.
Perkara tersebut diumumkan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menerusi satu hantaran ringkas di akaun media sosial rasmi miliknya.
Menurut beliau, Mas Ermieyati juga bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik dan memadamkan semua hantaran video di semua platform media sosial beliau.
“Alhamdulillah, Mahkamah Tinggi Melaka, Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Isa Aziz Ibrahim telah merekodkan Penghakiman Persetujuan bahawa Defendan YB (Yang Berhormat) Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin telah mengakui mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadap saya dan MARA,” katanya.
Jelas Asyraf Wajdi, keputusan tersebut diharap mampu menjadi pengajaran berguna kepada semua agar bertanggungjawab.
“Jangan sewenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menghancurkan reputasi dan institusi.
“Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ (17:81)
قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
“Katakanlah: Telah datang kebenaran (al-haq), dan lenyaplah kebatilan (al-batil). Sesungguhnya kebatilan itu pasti akan lenyap.”
Beliau menerusi hantaran sama turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam MARA, diketuai Datuk Adnan Seman.
“Terima kasih juga kepada seluruh pegawai MARA yang berjuang untuk memastikan agar institusi penting orang Melayu dan Bumiputera terus kekal berintegriti dan terpelihara daripada sebarang fitnah yang membinasakan,” katanya. - Getaran, 6 April 2026
