Mas Ermieyati bayar ganti rugi RM50,000: Asyraf Wajdi salur ke tabung wakaf Mara

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 3:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Asyraf Wajdi bersama peguamnya, Adnan (kanan) ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Negeri Melaka pada Isnin.

SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan komitmen menyalurkan wang ganti rugi dibayar Mas Ermieyati berjumlah RM50,000 untuk ke tabung kebajikan pelajar di bawah agensi tersebut. 

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan janjinya untuk tidak menggunakan wang berkenaan bagi tujuan peribadi.

"Sebagaimana janji saya setiap sen RM50,000 wang ganti rugi tidak akan sesekali digunakan secara peribadi.

"Bahkan saya sudah minta pengurusan Mara untuk memasukkan wang ganti rugi apabila diterima nanti ke dalam akaun wakaf Mara untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, daif dan anak yatim," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, Asyraf Wajdi memaklumkan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Melaka, Isa Aziz Ibrahim telah merekodkan Penghakiman Persetujuan bahawa defendan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin telah mengaku mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah terhadapnya.

Katanya, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu turut bersetuju memohon maaf secara bertulis, menarik balik, memadamkan hantaran video di semua platform media sosial beliau dan membayar gantirugi sebanyak RM50,000 kepada Mara.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kes itu diharapkan menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menghancurkan reputasi serta institusi.

"Terima kasih kepada barisan Peguam Mara yang diketuai oleh Datuk Adnan Seman dan seluruh pegawai Mara yang berjuang untuk memastikan agar institusi penting orang Melayu dan Bumiputera terus kekal berintegriti dan terpelihara daripada sebarang fitnah yang membinasakan," ujarnya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Mas Ermieyati telah menuduh Asyraf Wajdi membazirkan dana Mara melalui lawatan mengejut, memotong program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).