MELAKA - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk melakukan kebaikan apabila menyerahkan sejumlah wang tunai yang ditemuinya kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong pada Selasa.
Dalam keadaan kudrat terbatas, lelaki dikenali sebagai Azlan itu hadir ke pejabat Japerun Duyong dengan menunggang motosikal dan bertongkat bagi menyerahkan wang berkenaan supaya dapat dipulangkan kepada pemilik asal.
ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, tindakan lelaki terbabit wajar dipuji kerana tetap memilih jalan jujur walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan.
Menurutnya, wang berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Kandang bagi membantu mengesan pemiliknya.
“Jika ada individu yang kehilangan wang dalam jumlah besar, mereka boleh hadir ke Balai Polis Kandang untuk membuat semakan.
“Mereka akan ditanya mengenai jumlah wang yang hilang, lokasi dan tempoh masa kehilangan bagi memastikan wang itu dipulangkan kepada pemilik sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
**media[3527665]**
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil kesempatan terhadap Azlan atau cuba meneka maklumat berkaitan wang tersebut.
“Kalau ada yang datang cuba-cuba nasib, main hentam teka jawapan soalan di atas, saya dah pesan suruh polis tangkap dan simpan dalam 24 jam.
“Pesanan tambahan, kalau ada yang kacau abang Azlan dengan tanya jawapan soalan di atas, anda memang binatang. Jangan kacau abang Azlan, dia orang baik,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy menyifatkan Azlan sebagai individu berhati mulia dan berharap lebih ramai masyarakat mencontohi sikap jujur yang ditunjukkan lelaki berkenaan.
“Fizikal dia OKU tapi hati dia tak OKU dan iman dia padu.
“Negara akan berkat jika pemimpin (ketua) sebaik-baik pemimpin (mudah-mudahan), tentera (penjawat jawatan) sebaik-baik tentera (mudah-mudahan) dan rakyat sebaik-baik rakyat (orang Duyong baik-baik semuanya, insya-ALLAH),” katanya.
