'Flash mob' sambut kehadiran murid pada hari pertama sekolah

19 Mar 2023 • 3:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Murid SK Dato' Wan Kemara disambut meriah oleh guru-guru sekolah mereka.

image is not available
Murid SK Dato' Wan Kemar disambut dengan pertunjukan 'flash mob' oleh guru-guru dan murid di hadapan pintu pagar sekolah.

image is not available
Mohd Nizam bersama guru-guru dan murid yang terlibat dengan aktiviti hari pertama persekolahan sesi 2023/2024.

KUBANG PASU - Seramai 1,350 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara di sini teruja disambut dan dirai oleh guru-guru pada hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 pada Ahad.

Keterujaan itu lebih dirasai oleh murid Tahun Satu yang kali pertama menjejak kaki ke alam persekolahan.

Guru Besarnya, Mohd Nizam Saidin berkata, pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti menarik pada minggu pertama persekolahan untuk menarik minat murid ke sekolah.

Katanya, segala perancangan termasuk 'flash mob' oleh guru-guru dan murid dirancang pada perjumpaan khas baru-baru ini.

"Alhamdulillah kita rancang sepanjang minggu ini ada pelbagai aktiviti selaras dengan arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya ketika ditemui pada program 'Jom buat ghamai' di pintu pagar SK Dato’ Wan Kemara di sini pada Ahad.

Menurutnya, antara aktiviti yang dirancang sepanjang minggu orientasi ini adalah senamrobik dan beberapa modul khas untuk raikan murid

"Alhamdulillah kalau kita lihat reaksi murid hari ini mereka nampak gembira, tak sangka kehadiran mereka dirai dengan sangat meriah.

"Pendek kata mereka rasa dialu-alukan ke sekolah walaupun baru hari pertama persekolahan," katanya.

Mohd Nizam berkata, berdasarkan pengalamannya, pelbagai program menarik di sekolah dapat meningkatkan peratus kehadiran murid ke sekolah.

"Kalau kita lihat di sekolah kami ini kehadiran setiap tahun meningkat, lebih 90 peratus.

"Bukan itu saja, ibu bapa dari luar kawasan pun berlumba-lumba nak hantar anak masuk ke sekolah ini," katanya.