HULU LANGAT - Sebuah bangunan kediaman bertingkat yang didakwa didiami etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat di sini akan dikenakan tindakan perobohan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim berkata, tindakan itu akan dilaksanakan susulan pelbagai tindakan penguatkuasaan yang sudah diambil oleh agensi berkaitan terhadap struktur berkenaan sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Langat mengambil perhatian terhadap dakwaan yang tular di media sosial berhubung kewujudan bangunan kediaman bertingkat itu.
"Semakan mendapati struktur tersebut sebahagian besarnya terletak di atas lot tanah milik individu yang mempunyai syarat nyata bagi rumah kediaman, manakala sebahagian kecil lagi berada di atas rizab jalan.
"Turut dikenal pasti beberapa struktur kediaman lain dibina tanpa kebenaran di atas lot berkenaan serta lot bersebelahan yang merupakan rizab sungai dan pernah didiami penduduk etnik Rohingya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
**media[3546922]**
Mohd Jusni berkata, PDT Hulu Langat sudah beberapa kali mengeluarkan Notis Amaran Pendudukan Secara Tak Sah kepada pemilik struktur terbabit atas kesalahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
Katanya, notis itu dikeluarkan pada 2017, 2020, 2021 dan yang terbaru pada 13 Mac lalu.
"Malah, operasi perobohan bersepadu pernah dijalankan pada 2017 membabitkan kerjasama beberapa agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," ujar beliau.
Menurut beliau, MPKj turut mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis dan tawaran kompaun pada 2016, 2017, 2019 serta 2021 kerana pembinaan bangunan tanpa kebenaran bertulis pihak berkuasa tempatan.
Pada masa sama, katanya, LUAS membuka kertas siasatan tahun ini di bawah Enakmen LUAS 1999 bagi membolehkan tindakan pengkompaunan dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab mendirikan struktur tanpa kelulusan.
"Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali," jelas beliau.
Mohd Jusni berkata, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor juga menjalankan operasi bersama PDRM pada 28 Februari lalu yang membawa kepada penahanan 42 warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Beliau menegaskan, PDT Hulu Langat bersama agensi penguatkuasaan daerah akan terus melaksanakan tindakan terhadap pencerobohan tanah kerajaan mengikut lunas undang-undang ditetapkan.
**media[3546923]**
Terdahulu, isu itu menjadi tular selepas penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin atau Pak Ajad berkongsi video memaparkan kewujudan penempatan etnik Rohingya di Sungai Tekali.
Video tular terbabit menunjukkan kediaman bangunan empat tingkat dengan struktur binaan dipercayai dibangunkan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Pak Azad yang secara kebetulan melalui jalan itu memaparkan struktur bangunan tidak sempurna, namun mempunyai sambungan paip dan sistem pendawaian elektrik yang meragukan.
Sebuah bangunan kediaman bertingkat di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat di sini yang didakwa didiami etnik Rohingya.






