MCW gesa siasatan menyeluruh isu bangunan dihuni Rohingya di Sungai Tekali

LocalPolitics
10 Jun 2026 • 10:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MCW gesa siasatan menyeluruh isu bangunan dihuni Rohingya di Sungai Tekali
Sebuah bangunan didirikan tanpa kebenaran dipercayai dihuni etnik Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat.

SHAH ALAM – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan kewujudan sebuah bangunan empat tingkat yang dipercayai dibina tanpa kebenaran dan dihuni etnik Rohingya di Sungai Tekali, Hulu Langat.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh termasuk kemungkinan wujud unsur rasuah, perlindungan atau kecuaian dalam penguatkuasaan.

Menurut beliau, proses itu perlu membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Audit integriti terhadap tindakan penguatkuasaan yang pernah dilaksanakan sebelum ini juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam tadbir urus.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga wajar menyiasat sekiranya terdapat unsur rasuah, perlindungan atau kecuaian yang membolehkan pembinaan serta pengoperasian bangunan itu berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, Jais berkata, laporan status sebenar bangunan itu perlu didedahkan kepada orang ramai bagi mengelakkan spekulasi dan sentimen perkauman yang boleh mengeruhkan keadaan.

Beliau berkata, isu itu perlu dilihat dari sudut integriti pentadbiran dan penguatkuasaan undang-undang, bukannya tertumpu kepada kaum atau etnik tertentu.

Menurutnya, sekiranya bangunan itu dibina tanpa kelulusan pelan bangunan, kebenaran merancang, sijil keselamatan atau kelulusan pihak berkuasa berkaitan, timbul persoalan bagaimana struktur bersaiz besar itu boleh wujud serta beroperasi dalam tempoh yang lama tanpa tindakan berkesan.

MCW turut mengambil maklum bahawa premis itu pernah diserbu dalam operasi bersepadu pada Februari tahun lalu yang menyaksikan puluhan warga asing ditahan Jabatan Imigresen.

"Bagaimanapun, persoalan yang masih belum terjawab ialah mengapa isu ini dilihat berlarutan sehingga hari ini," tambah beliau.

Beliau menegaskan Malaysia ialah sebuah negara yang berasaskan kedaulatan undang-undang dan setiap individu, pemilik tanah atau penghuni tanpa mengira status kewarganegaraan wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Kegagalan mengambil tindakan tegas hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan serta pentadbiran awam," jelas beliau.

Terdahulu, isu itu menjadi tular selepas penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin atau Pak Azad, berkongsi video yang memaparkan kewujudan penempatan etnik Rohingya di Sungai Tekali.

Video tular terbabit menunjukkan sebuah bangunan kediaman empat tingkat dengan struktur binaan yang dipercayai dibangunkan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Pak Azad yang secara kebetulan melalui kawasan itu memaparkan struktur bangunan yang tidak sempurna, namun mempunyai sambungan paip dan sistem pendawaian elektrik yang meragukan.