Flotila Global Sumud Didakwa Diganggu Tentera Israel Di Perairan Antarabangsa

WorldPolitics
30 Apr 2026 • 8:46 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Flotila Global Sumud Didakwa Diganggu Tentera Israel Di Perairan Antarabangsa

MEDITERRANEAN – Kru kapal Greenpeace International, Arctic Sunrise melaporkan beberapa kapal dalam Global Sumud Flotilla (GSF) didakwa diganggu oleh pasukan Israel ketika berada di perairan antarabangsa, kira-kira 45 batu nautika dari Pulau Kythira, Greece dan lebih 600 batu nautika dari Gaza, semalam.

Menurut laporan Greenpeace, flotila berkenaan menerima amaran radio sekitar jam 9.43 pagi waktu tempatan melalui saluran kecemasan maritim VHF Channel 16, apabila satu pihak yang memperkenalkan diri sebagai Tentera Laut Israel mengarahkan kapal-kapal tersebut menukar haluan.

Situasi itu kemudian dilaporkan semakin serius apabila sistem komunikasi maritim diganggu secara menyeluruh, termasuk saluran kecemasan VHF SOS, saluran penyelarasan flotila, Global Navigation Satellite System (GNSS) serta rangkaian komunikasi Iridium.

Bot Didakwa Diacu Senjata, Peserta Dipaksa Berlutut

Gangguan berkenaan didakwa menyebabkan keselamatan kapal berada dalam risiko di laut terbuka, malah pada waktu laporan dibuat, beberapa kapal dalam flotila dilaporkan telah terputus hubungan sepenuhnya.

Dalam masa sama, satu kenyataan dimuat naik di platform X rasmi Global Sumud Flotilla mendakwa bot mereka turut didekati kapal laju tentera yang memperkenalkan diri sebagai Israel.

Menurut kenyataan itu, peserta flotila berdepan tindakan agresif termasuk disuluh laser dan diacukan senjata api separa automatik, selain diarahkan berkumpul di bahagian hadapan bot serta berlutut dengan tangan di atas kepala.

Global Sumud Flotilla merupakan gerakan antarabangsa tanpa kekerasan yang belayar bagi menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza serta menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin.

Kapal Arctic Sunrise pula berperanan sebagai sokongan logistik kepada flotila tersebut sepanjang misi berlangsung.

Susulan insiden itu, Greenpeace menggesa semua kerajaan dunia supaya segera bertindak mempertahankan undang-undang antarabangsa serta memastikan perlindungan penuh dan laluan selamat kepada flotila berkenaan, termasuk membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza tanpa sebarang gangguan ketenteraan.

Setakat ini, pihak Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan gangguan atau tindakan ketenteraan di perairan antarabangsa tersebut. – The Malaysian Update

The post Flotila Global Sumud Didakwa Diganggu Tentera Israel Di Perairan Antarabangsa appeared first on The Malaysian Update.