Stesen radio FlyFM menamatkan perkhidmatan penyampai radio (DJ) kecerdasan buatan (AI) mereka dua hari yang lalu. DJ Aina yang digunakan sejak Jun 2023 telah “dipecat” selepas berhenti ke udara secara mengejut sebelum ini. Ini semuanya hanyalah sekadar gimik untuk pihak FlyFM memulakan pencarian avatar AI baharu yang akan menggantikan Aina.

FlyFM kini mengadakan pertandingan mencari DJ AI baharu dengan orang ramai diminta menghantar gambar, maklumat peribadi dan video uji bakat sepanjang 30 saat. Lima peserta yang terpilih kemudiannya akan diubah menjadi DJ AI. Kemudian tiga pemenang akan menerima hadiah kontrak bernilai RM2000 untuk menjadi DJ AI selama sebulan menggantikan slot radio yang sebelum ini menggunakan Aina.
Reaksi orang ramai terhadap pertandingan ini secara keseluruhannya negatif kerana menolak penggunaan DJ AI yang menggantikan DJ manusia. Ia dilihat sebagai usaha menggunakan wajah manusia sebenar untuk avatar AI dengan bayaran rendah.

Penggunaan AI dalam industri penyiaran di Malaysia semakin meningkat dipacu oleh trend orang ramai yang tidak lagi menonton kandungan linear. Pembaca berita, wartawan, pelakon dan DJ AI mengurangkan kos produksi serta “bakat” boleh dikawal lebih mudah.
Tidak seperti di Amerika Syarikat, kesatuan pekerja seperti SAG AFTRA menolak penggunaan bakat AI sehingga sanggup melakukan mogok besar-besaran dua tahun lalu. Di Malaysia masih tiada pergerakan menentang penggunaan AI yang menabur silikon ke dalam periuk nasi penggiat seni. Malahan penggunaan AI digalakkan pula oleh Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan FINAS yang mendakwa ia bukan ancaman kepada industri.


