FMM gesa kerajaan semak semula definisi PKS pembuatan selari keperluan industri semasa

LocalBusiness & Finance
7 Jan 2026 • 11:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

FMM gesa kerajaan semak semula definisi PKS pembuatan selari keperluan industri semasa image is not available haziq07/01/2026 - 11:14 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Jan – Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan supaya menyemak semula definisi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan agar lebih selari dengan keperluan dan realiti industri semasa.

 

Walaupun menyambut baik langkah bantuan bersasar terbaharu kerajaan kepada PKS, Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, ambang sedia ada bagi klasifikasi PKS kini semakin menyekat dan tidak lagi mencerminkan realiti industri hari ini khususnya bagi syarikat bersaiz pertengahan yang berada di antara PKS tradisional dan syarikat besar.

 

“Jika dibandingkan dengan penanda aras antarabangsa, definisi PKS di Malaysia adalah agak sempit,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketika ini, Malaysia mentakrifkan PKS pembuatan sebagai firma yang mencatatkan perolehan tahunan sehingga RM50 juta atau mempunyai tenaga kerja sehingga 200 orang.

 

Menurut Lee, negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman menggunakan ambang kewangan dan bilangan pekerja yang lebih tinggi, sekali gus membolehkan pengilang bersaiz sederhana terus menikmati akses kepada sokongan bersasar.

 

“Sebaliknya, rangka kerja semasa Malaysia berisiko mengklasifikasikan pengilang pertengahan sebagai syarikat besar, sekali gus mengecualikan mereka daripada program bantuan serta mengenakan beban kawal selia dan kos yang tidak sepadan dengan skala operasi mereka,” katanya.

 

FMM menegaskan pengilang bersaiz pertengahan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara sebagai penghubung utama antara pembekal kecil dan syarikat multinasional, selain menjadi penyumbang besar kepada eksport, inovasi dan peluang pekerjaan.

 

Sehubungan itu, FMM mengulangi saranan lamanya supaya definisi PKS diperluaskan kepada firma dengan perolehan tahunan sehingga RM100 juta dan tenaga kerja sehingga 300 orang.

 

Menurut Lee, langkah tersebut akan menyelaraskan Malaysia dengan piawaian serantau dan global, mengambil kira perubahan ekonomi serta nilai mata wang sejak 2013, menggalakkan penskalaan dan penggabungan syarikat, serta memperkukuh daya tahan dan daya saing keseluruhan ekosistem perindustrian negara.

 

Gesaan itu dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengenai beberapa langkah bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana termasuk penangguhan penalti pelaksanaan e-invois serta pengurangan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan daripada 8% kepada 6%. - DagangNews.com

Terkini standard