CIDB perkasa kontraktor PKS sebagai inovator teknologi pembinaan melalui pembentangan SFERA 2025

LocalTechnology
19 Dec 2025 • 12:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CIDB perkasa kontraktor PKS sebagai inovator teknologi pembinaan melalui pembentangan SFERA 2025
image is not available
haziq19/12/2025 - 12:46 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Dis – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terus memperkasa kontraktor kecil dan sederhana (PKS) sebagai inovator teknologi pembinaan menerusi penganjuran Pitching SFERA 2025, iaitu hari pembentangan akhir program Fasiliti Kecil Memulakan Inovasi Berdaya Tahan (SFERA).

 

Program anjuran CIDB melalui anak syarikatnya, CIDB IBS Sdn Bhd itu berlangsung di Mercure Trion Kuala Lumpur dan menghimpunkan 10 inovator terbaik sektor pembinaan untuk membentangkan idea serta model perniagaan inovatif kepada panel terdiri daripada pelabur, agensi pembiayaan dan pemimpin industri.

 

Menurut CIDB, SFERA merupakan inisiatif utama bagi membina keupayaan kontraktor PKS supaya mampu membangunkan penyelesaian praktikal dan boleh diskalakan untuk tapak binaan, sekali gus menyokong agenda pendigitalan dan pemodenan industri pembinaan negara.

 

Program ini membimbing peserta daripada peringkat penjanaan idea hingga pembangunan prototaip dan kesediaan pasaran melalui siri bootcamp, bimbingan mentor serta latihan berstruktur. 

 

Daripada 30 inovator yang disenarai pendek, 10 finalis terbaik dipilih untuk membentangkan inovasi masing-masing pada hari pembentangan.

 

Inovasi yang diketengahkan merangkumi sistem pengurusan tapak bina digital, aplikasi realiti terimbuh (AR), bahan binaan hijau dan peralatan pembinaan moden, selari dengan agenda Construction 4.0, Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP2030) dan aspirasi Malaysia MADANI.

 

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal berkata inovasi kini menjadi keperluan asas industri dan tidak lagi terhad kepada syarikat besar semata-mata.

 

“Inovasi bukan lagi milik makmal besar atau syarikat gergasi semata-mata, sebaliknya terbuka kepada sesiapa sahaja yang berani membawa perubahan. Apa yang dibentangkan hari ini bukan sekadar idea, tetapi gambaran masa depan industri pembinaan yang lebih inovatif, berdaya tahan dan berpaksikan realiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut CIDB, projek yang dibentangkan dinilai berdasarkan kejelasan masalah dan keperluan pasaran, kekuatan serta kerelevanan solusi, tahap inovasi dan nilai tambah, keberkesanan model perniagaan dan potensi pulangan, keupayaan pelaksanaan pasukan, selain risiko serta kebolehlaksanaan.

Hari pembentangan SFERA 2025 menyaksikan tiga inovasi terbaik menerima pengiktirafan utama. 

 

Anugerah Pitching Terbaik dimenangi oleh Muhammad Amin Rafiq menerusi Ioxtech Global, sistem kerja digital untuk kontraktor kelas pertengahan yang menggantikan laporan tapak manual dengan sistem kehadiran digital, pemantauan kemajuan BQ, dokumentasi bergambar dan pemantauan produktiviti masa nyata.

 

Anugerah Idea Inovasi Terbaik pula diberikan kepada Brahmayudan A/L Thirunavukarasu melalui Tapak AR, penyelesaian realiti terimbuh yang memaparkan model BIM 3D bersaiz sebenar di tapak bina, bagi mengurangkan kerja semula dan meningkatkan ketepatan serta kelajuan pelaksanaan projek.

 

Sementara itu, Anugerah Bisnes Model Terbaik dimenangi oleh Mohd Rusdi Mamat menerusi inovasi Smartply, sistem acuan hibrid Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 6 yang menggabungkan rangka keluli dan panel komposit, lebih stabil, ringan dan tahan lama serta boleh digunakan sehingga 50 kali.

 

CIDB berkata hari pembentangan ini turut menjadi platform jaringan strategik yang menghubungkan kontraktor PKS dengan agensi berkaitan bagi membuka laluan kepada pembiayaan, perlindungan harta intelek dan peluang pengkomersialan, sekali gus mempercepatkan transformasi teknologi dalam industri pembinaan Malaysia.  - DagangNews.com

Terkini standard