FMM gesa kurangkan cukai industri untuk tingkatkan produktiviti PKS

03/10/2025 - 16:26
KUALA LUMPUR 3 Okt – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengurangkan cukai berkaitan industri kerana mengurangkan keuntungan korporat serta menghadkan pelaburan dalam teknologi dan penyelidikan.
Timbalan Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, meskipun cukai tambahan berjaya mengukuhkan hasil kerajaan, pada masa yang sama ia turut mengekang kemampuan syarikat untuk membuat pelaburan semula serta melaksanakan penambahbaikan.
“Kerajaan sudah memperkenalkan banyak cukai baharu. Walaupun ini mungkin meningkatkan hasil fiskal namun, ia telah menekan margin keuntungan kami.
“Akibatnya, pekilang berdepan masalah (kekurangan wang) untuk melabur dalam teknologi dan dibelanjakan bagi tujuan penyelidikan serta pembangunan (R&D) yang melemahkan daya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pembentangan RAM Forum 2025, sebuah forum tahunan anjuran RAM Ratings yang menghimpunkan pemain industri, pembuat dasar dan pakar ekonomi di sini hari ini, lapor The Edge.
Lee turut memaklumkan aktiviti pembuatan semakin perlahan pada 2025 dengan pengeluaran, tempahan serta penggunaan kapasiti semakin lemah.

“Walaupun syarikat berjaya mengelakkan pembuangan pekerja secara besar-besaran, kebanyakannya hanya menumpukan kepada penggabungan operasi berbanding pengembangan, selain membuat pelaburan sederhana dalam pendigitalan dan automasi.
“Kekurangan tenaga kerja masih menjadi kekangan utama dengan pembekuan pengambilan pekerja asing terus menjejaskan kemampuan pengeluar memenuhi tempahan, katanya.
Situasi itu katanya, hampir sama semasa pemulihan pasca-Covid di mana banyak firma tidak dapat mengambil pesanan baharu kerana kekurangan tenaga kerja.
“Pekerja asing masih sangat penting untuk industri pembuatan Malaysia. Tanpa mereka, pekilang tidak mampu memaksimumkan tempahan dan pengeluaran,” katanya.
Sehubungan itu, Lee menyeru lebih banyak sokongan daripada kerajaan bagi membina kapasiti industri domestik, termasuk akses pembiayaan yang lebih mudah, penstrukturan semula peraturan, serta insentif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menyertai rantaian bekalan syarikat multinasional.
Sehubungan itu, beliau menekankan satu reformasi dasar perlu dibuat untuk memfokuskan kepada pengurangan beban kos ke atas perniagaan.
“Usaha meningkatkan kualiti dan skala PKS amat penting sekiranya Malaysia mahu melonjak ke rantaian nilai lebih tinggi serta mengekalkan daya saing dalam pasaran ASEAN yang kini merangkumi 2.2 bilion pengguna.
“Kami berharap kerajaan dapat mengurangkan cukai industri agar wang kekal dalam akaun syarikat dan dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti, bukannya hanya dikutip sebagai hasil cukai,” katanya. - DagangNews.com
standard
