Fokus reka bentuk modular, elak persaingan cip kuasa besar – Pakar

5 Jul 2025 • 1:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh Danial Dzulkifly

SHAH ALAM, 5 JUL: Malaysia disaran tidak terlibat secara langsung dalam persaingan kuasa besar dunia membangunkan cip kecerdasan buatan (AI), sebaliknya menumpukan kepada pembangunan reka bentuk modular yang lebih realistik dan kos efektif.

Penasihat Strategik Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Chiang Shang Yi berkata kedudukan geografi strategik serta ekosistem teknologi sedia ada memberi kelebihan kepada Malaysia untuk memacu pasaran Kecerdasan Buatan Internet Benda (AIoT).

image is not available
Penasihat Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Dr Chiang Shang-Yi ketika ditemu bual berkaitan industri semikonduktor di pejabat perbadanan itu di Subang Jaya pada 3 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Malaysia tidak mampu bersaing secara langsung dengan syarikat semikonduktor gergasi yang telah menguasai pasaran global selama lebih dua dekad.

“Sebaliknya, tumpuan harus diberi kepada integrasi AI dalam sektor seperti rumah pintar, automotif dan pembangunan bandar, selari dengan keperluan semasa,” katanya dalam temu bual bersama Media Selangor di Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu, Puchong baru-baru ini.

Taman reka bentuk litar bersepadu dan pemacu semikonduktor Malaysia: Hab Selangor dibangunkan Kerajaan Negeri merupakan pusat sektor semikonduktor terbesar di Asia Tenggara.

Sejak dilancarkan pada Ogos tahu lalu, IC yang terletak di Puchong berjaya meraih pelaburan dan dana berjumlah RM2.6 bilion, sejajar hasrat negeri untuk mengembangkan hab reka bentuk cip global ke fasa kedua.

Taman reka bentuk cip kedua kini dalam perancangan dan Cyberjaya disebut-sebut sebagai lokasi berpotensi.

image is not available
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar pada Majlis Pelancaran Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) semikonduktor di Menara 4, Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC), Subang Jaya pada 6 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Mengulas mengenai peranannya di Sidec, Chiang berkata beliau memberi pandangan strategik tentang bagaimana Malaysia dan Selangor boleh membina kelebihan tersendiri dalam industri, selain memberi nasihat berkaitan inovasi dan pembangunan model perniagaan mampan.

Beliau yang pernah mengetuai bahagian penyelidikan dan pembangunan di Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) turut menggesa Malaysia memacu inovasi bukan hanya melalui teknologi, malah menerusi pembangunan model perniagaan yang membantu syarikat tempatan berkembang.

Chiang turut mencadangkan pembangunan platform berasaskan chiplet nasional, menggunakan pendekatan modular seperti konsep ‘Lego’, yang membolehkan penghasilan cip secara heterogen iaitu menggabungkan pelbagai komponen berfungsi dalam satu cip.

“Jika pembangunan cip tradisional memerlukan 50 jurutera dan masa sehingga dua tahun, pendekatan chiplet mampu disiapkan dalam tempoh enam bulan dengan kos serta tenaga kerja yang jauh lebih rendah,” katanya.

image is not available
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama pelajar Program Pertukaran Semikonduktor Global (GSEP) Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) sempena sambutan Ulang Tahun ke-10 Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 3 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Saranan itu turut dilihat selari dengan usaha Kerajaan Negeri menerusi penubuhan Pasukan Petugas Semikonduktor ke arah menjadikan Selangor hab reka bentuk cip global dalam tempoh lima tahun.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan pasukan berkenaan akan menyelaras pembangunan bakat, rantaian bekalan dan strategi industri secara menyeluruh bagi mengukuhkan kedudukan Selangor dalam sektor teknologi tinggi.