Fon Telinga Nirwayar Acer AI TransBuds Dilancarkan Dengan Ciri Terjemahan Suara

TechnologyDigital
18 May 2025 • 7:39 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Acer turut melancarkan fon telinga nirwayar AI TransBuds di COMPUTEX 2025. Fon telinga ini direka dalam bentuk cangkuk di telinga untuk keselesaan pengguna. Seperti namanya, ia juga dilengkapi dengan ciri terjemahan suara masa nyata yang boleh bantu proses komunikasi menjadi lebih jelas dan mudah difahami dalam pelbagai bahasa.

image is not available

Untuk mengaktifkan ciri terjemahan suara dua hala ini, peranti perlu disambungkan kepada telefon pintar atau tablet melalui penerima plug-in. Teknologi terjemahan ini menggunakan AI untuk menukar bahasa lisan kepada teks dan menganalisis maknanya. Ia menyokong 15 bahasa utama yang digunakan di Asia, Amerika, dan Eropah.

Selain itu, fon telinga ini ringan dan menyokong sambungan Bluetooth 5.4 dengan jarak penghantaran sehingga 10 meter. Acer menyatakan bahawa hanya seorang sahaja perlu memakainya untuk mengaktifkan ciri terjemahan. Peranti ini turut menyokong sari kata langsung dan transkripsi bagi membolehkan pengguna melihat perbualan secara masa nyata dan menyemak semula kandungan yang telah dirakam.

Buat masa ini, masih belum ada maklumat mengenai harga atau ketersediaan peranti ini.