foodpanda, D'Laksa cipta rekod MBOR jualan laksa terbanyak dalam tempoh 1 jam
zulfadli
07/06/2023 - 17:43
KUALA LUMPUR 7 Jun - foodpanda Malaysia dan D'Laksa mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) apabila mencatatkan jualan sebanyak 15,381 mangkuk laksa menerusi platform penghantaran itu dalam masa satu jam.
foodpanda dalam kenyataan hari ini berkata, rakan kongsi penghantaran foodpanda dan pasukan D’Laksa dari 53 cawangan di seluruh negara bertungkus-lumus menghantar pesanan asam laksa yang panas kepada pelanggan.
Katanya, pencapaian luar biasa ini melambangkan komitmen yang lebih besar oleh kedua-dua jenama untuk memberikan kecemerlangan dan kepuasan kepada penggemar laksa di seluruh Malaysia.
"Populariti asam laksa D’Laksa yang lazat dan pedas yang ditawarkan pada harga RM5.99 untuk tiga mangkuk asam laksa semasa kempen 6.6 telah menyebabkan lonjakan permintaan kerana pelanggan tidak sabar-sabar mahu menikmati asam laksa kegemaran mereka.
"Dalam perkara ini, cawangan D’Laksa di Queensbay Mall, Pulau Pinang mencatat sumbangan tempahan terbesar, yang mana cawangan itu berkerja keras menghasilkan dan menghantar D’Laksa untuk memenuhi selera penggemar asam laksa.
"Secara keseluruhan, tiga lokasi utama lain yang menunjukkan permintaan tertinggi untuk asam laksa D’Laksa adalah Kepong, Bandar Utama dan Shah Alam," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan sambil meningkatkan kedudukan setiap jenama ke tempat yang sepatutnya dengan program 'panda picks'.

"Kini, pelanggan foodpanda boleh menikmati laksa kegemaran mereka yang dihantar terus ke depan pintu mereka hanya dengan beberapa klik pada aplikasi atau laman web foodpanda.
Pengasas dan Pengarah Urusan D’Laksa, Jaysern Tan pula berkata, D’Laksa diilhamkan daripada rasa cinta pihaknya terhadap mangkuk laksa yang enak, makanan ruji jalanan popular di Pulau Pinang.
"Kami sangat gembira kerana hanya dalam tempoh 11 tahun sejak ia diperkenalkan, kami telah berjaya mengembangkan jenama dan citarasa asli ini ke seluruh negara.
"Kerjasama dengan foodpanda ini merupakan satu lagi kejayaan dan bukti bahawa D’Laksa sentiasa memberikan hasil yang terbaik untuk pelanggannya," katanya.
Menurut Jaysern, sejak D’Laksa disenaraikan dalam program panda picks, rangkaian restoran tersebut menyaksikan pertumbuhan pesat daripada segi bilangan tempahan untuk asam laksa mereka.
Katanya, jumlah pesanan untuk D’Laksa mencatatkan pertumbuhan 165% manakala pelanggan baharu meningkat 2.75 dalam tempoh tiga bulan sahaja selepas menyertai program itu pada Mac lalu. - DagangNews.com


