
ALOR GAJAH: Formula muka baharu yang digandingkan bersama penyandang kerusi dan calon berpengalaman untuk mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 merupakan tradisi Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam pembentukan sesebuah kerajaan, pemimpin berpengalaman amat diperlukan untuk mentadbir manakala muka baharu perlu diberi pendedahan demi kesinambungan.
Katanya, keberkesanan formula itu telah terbukti yang mana boleh dilihat di negeri-negeri ditadbir BN.
“Ini memang biasa, dalam mana-mana pilihan raya pun, memang asas yang selalu kita letakkan di pihak pimpinan. Mesti ada kombinasi antara yang baharu dan yang lama.
“Kerana muka-muka baharu ini penting untuk kita memberikan mereka pendedahan, terutama dari kalangan mereka yang lebih muda, untuk adanya berlaku kesinambungan. Sebab itulah kalau kita tengok, ini tradisi BN dari dulu.
“Sebab itu kalau dari segi pentadbiran, kita tidak ada masalah kerana mereka mempunyai pengalaman. Nak menguruskan kerajaan bukan nak menguruskan hanya sebuah organisasi biasa. Kita kena faham dari segi tatakelola, tatacara kerajaan, pentadbiran,” katanya selepas Majlis Penutupan Mahrajan Mahabbatul Ilmi 2026 di Dewan Lestari Universiti Kuala Lumpur (UniKL)-MICET di Taboh Naning di sini hari ini.
Untuk PRN kali ini, antara penyandang yang digugurkan ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (Lendu); Datuk Rahmad Mariman (Ayer Molek) dan Datuk Kalsom Noordin (Pengkalan Batu).
Antara muka baharu yang dicalonkan ialah Ahmad Norazril Abd. Aziz (Rembia), S. Nadaraja (Gadek), Datuk Dr. Mustafa Musa (Durian Tunggal) dan Datuk Azman Abdullah (Serkam).
Asyraf Wajdi berkata, permuafakatan politik atau kesefahaman yang dijalinkan secara lebih tersusun dengan Perikatan Nasional (PN) bakal memberi impak besar terhadap pentadbiran negeri.
“Saya rasa insya-Allah semuanya akan lebih terserlah dalam hari pengundian pada 14 November itu,” katanya. – UTUSAN
The post Formula ‘baharu-lama’ tradisi BN appeared first on Utusan Malaysia.



