Formula BN, PN di Negeri Sembilan mungkin ke Selangor - KJ

LocalPolitics
20 Jul 2026 • 8:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Formula BN, PN di Negeri Sembilan mungkin ke Selangor - KJ
Khairy Jamaluddin
Image from: Formula BN, PN di Negeri Sembilan mungkin ke Selangor - KJ
Khairy Jamaluddin (tengah) bergambar bersama pemimpin peringkat bahagian dan ahli UMNO selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Subang di Bangunan UMNO Selangor pada Ahad.

SHAH ALAM - Formula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas yang diuji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berpotensi diperluaskan ke Selangor sekiranya berjaya menyatukan undi Melayu.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Selangor mempunyai demografi dan profil pengundi hampir sama dengan Negeri Sembilan sekali gus membuka ruang untuk formula itu dipertimbangkan pada masa depan.

"Bagaimanapun, keputusan PRN Negeri Sembilan perlu dilihat terlebih dahulu sebelum sebarang perbincangan dibuat oleh kepimpinan kedua-dua parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Subang di Bangunan UMNO Selangor di sini pada Ahad.

**media[3588141]**

Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama itu merupakan satu eksperimen politik yang baik bagi menguji sejauh mana penyatuan undi Melayu mampu memberi kelebihan kepada kedua-dua parti.

"Soal strategi pilihan raya bukan soal perjuangan, dalam perkara ini kita boleh fleksibel.

"Kita tengok dahulu apa yang berlaku di Negeri Sembilan, jika ada keikhlasan dan kesungguhan daripada kedua-dua pihak, kita mahu lihat sama ada penyokong BN boleh memberi undi kepada calon Pas dan sebaliknya," jelas beliau.

Beliau berkata, sekiranya undi Melayu tidak lagi berpecah, formula itu mampu memberi kelebihan kepada gabungan itu untuk merampas Selangor.

"Kalau undi Melayu tak pecah, seperti contoh yang saya sebutkan sebelum ini, kita boleh menang Selangor, Insya-ALLAH," katanya.

Mengulas kerjasama BN dan Pas di Negeri Sembilan, Khairy berkata, ia juga merupakan isyarat terdapat sesuatu yang tidak kena dalam hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan BN tidak perlu keluar daripada kerajaan ketika ini kerana kestabilan negara perlu diutamakan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ditanya mengenai kemungkinan calon 'poster boy' BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan datang, Khairy Jamaluddin memaklumkan, perkara itu wajar dibincangkan oleh kepimpinan parti pada masa sesuai.

"Kita boleh bincang kemudianlah nanti," jelasnya ringkas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved