
SUBANG JAYA – Program ‘EcoWorld Connects: Business Ascend Forum’ kembali buat kali kedua dengan menghimpunkan pemimpin syarikat terkemuka tempatan bagi berkongsi pengalaman dan strategi mengembangkan perniagaan.
Forum anjuran Eco Business Park VII yang berlangsung di EX8 itu bertemakan ‘The Next Leap’, dengan memberi tumpuan kepada persediaan syarikat menghadapi fasa pertumbuhan seterusnya.
Antara usahawan yang tampil berkongsi pengalaman ialah Ketua Pegawai Eksekutif Colony Coworking & Event Spaces, Timothy Tiah; Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne Group, Datuk Dr. Kamarul A. Muhamed; serta Ketua Pegawai Eksekutif Santan, Catherine Goh.
Mereka berkongsi pengalaman mengenal pasti peluang, membuat keputusan strategik dan mengembangkan perniagaan menerusi sesi perkongsian serta perbincangan panel yang dikendalikan Ketua Operasi Eco Business Park V dan VII, Clement Liaw.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Liew Tian Xiong berkata, forum itu diwujudkan bagi menggalakkan perkongsian pengalaman dan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan.
“EcoWorld Connects dibina berasaskan idea mudah, iaitu perniagaan berkembang lebih pantas apabila berkembang bersama-sama.
“Sambutan terhadap forum pertama menunjukkan komuniti perniagaan mahukan lebih banyak program seperti ini, justeru kali ini kami membawa masuk pemimpin yang sudah melalui sendiri fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.
Edisi kedua itu meneruskan usaha yang dimulakan menerusi penganjuran sulung pada Disember 2025 bagi membina komuniti perniagaan di kawasan Malaysia Vision Valley 2.0.
Program berkenaan turut menyaksikan pembukaan pendaftaran fasa kedua SME Core selepas fasa pertama mendapat sambutan penuh.
Selain sesi perkongsian, peserta berpeluang berinteraksi dengan rakan kerjasama menerusi pameran dan sesi rangkaian yang menghimpunkan pemimpin perniagaan daripada pelbagai sektor. – KOSMO! ONLINE
The post Forum EcoWorld Connects medan usahawan kongsi idea, pengalaman appeared first on Kosmo Online.


