Fujifilm Malaysia memperkenalkan Instax Mini Evo Cinema iaitu kamera hibrid segera dengan reka bentuk ala camcoder. Ia bukan sekadar untuk foto segera, tetapi turut menyokong rakaman video pendek serta boleh berfungsi sebagai pencetak melalui aplikasi khas.


Kamera ini dilengkapi dengan sensor CMOS 1/5 inci beresolusi 5MP, bersama apertur F2.0, ISO automatik 100 hingga 1600, serta sistem fokus yang boleh digunakan bermula dari jarak 10cm. Ia menggunakan bateri litium-ion yang mengambil masa sekitar 2 hingga 3 jam untuk dicas penuh dan mampu menghasilkan sehingga 100 cetakan.


Selain itu, pengguna boleh menggabungkan beberapa klip video sehingga 30 saat untuk menghasilkan rakaman pendek yang kreatif. Kamera ini juga menawarkan templat cetakan gaya poster dengan teks boleh disesuaikan manakala aksesori tambahan seperti ‘viewfinder’ dan ‘grip’ membantu meningkatkan kestabilan ketika digunakan.

Dari sudut reka bentuk, kamera ini hadir dengan kemasan hitam serta bentuk menegak yang menampilkan gaya klasik. Keistimewaan utamanya ialah Eras Dial, iaitu tombol khas yang membolehkan pengguna memilih sepuluh penuras era bermula dari tahun 1930 hingga 2020. Antara pilihan tersebut termasuk gaya filem 8mm dan tekstur televisyen CRT.

Sementara itu, paparan LCD di bahagian belakang memberi kemudahan kepada pengguna untuk melihat hasil rakaman sebelum mencetak. Lebih menarik lagi, video yang dirakam boleh ditukar kepada kod QR dan dicetak bersama bingkai foto. Kod tersebut kemudian boleh diimbas menggunakan telefon, di mana membolehkan video dimainkan semula atau dikongsi dengan mudah.

Di Malaysia, Fujifilm Instax Mini Evo Cinema ditawarkan pada harga RM1,848 dalam bentuk Combo Box, yang merangkumi kamera serta pek filem Instax Mini glossy. Selain itu, turut disertakan hadiah percuma bernilai RM188 termasuk sebuah ‘porch’ dan kad microSD 32GB untuk masa terhad. Kamera ini mula dijual secara rasmi pada hari ini melalui pengedar sah mereka.

