'Full stop' isu ternakan babi, fokus masalah lain

LocalPolitics
8 May 2026 • 7:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Full stop' isu ternakan babi, fokus masalah lain

DALAM kehidupan rakyat hari ini, keutamaan semakin tertumpu kepada cabaran harian yang memberi kesan terus kepada kesejahteraan hidup.

Perbincangan berpanjangan terhadap isu-isu sensitif hanya akan mengalih perhatian daripada masalah yang lebih mendesak dan bersifat menyeluruh.

Justeru, 'full stop' isu ternakan babi, fokus masalah lain dilihat lebih penting supaya perhatian negeri dapat diberikan kepada agenda pembangunan, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.

Apatah lagi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kekal dengan pendirian tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di negeri ini sama ada berskala besar mahupun kecil susulan faktor kesesuaian guna tanah serta risiko alam sekitar yang boleh menjejaskan kepentingan awam.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, titah baginda kekal seperti yang telah ditegaskan menerusi kenyataan media bertarikh 10 Februari lalu berhubung isu penternakan babi di negeri ini.

“Baginda menegaskan tidak berkenan aktiviti tersebut dilakukan di mana-mana daerah di Selangor,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, pendirian baginda dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai implikasi termasuk risiko pencemaran terhadap tanah, udara serta sumber air akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan ternakan tersebut.

Dalam konteks pentadbiran negeri, apabila sesuatu titah telah dizahirkan oleh Sultan, ia wajar difahami sebagai panduan yang perlu dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak, khususnya para pemimpin.

Sebarang tindakan yang menyanggah atau mengabaikan titah tersebut boleh dilihat sebagai tidak selari dengan prinsip ketaatan kepada institusi raja yang menjadi tonggak kestabilan negeri.

Oleh itu, pemimpin di semua peringkat perlu memberi perhatian serius terhadap titah yang telah disampaikan dan tidak bersikap berpaling tadah atau mengabaikan.

Sikap mendengar, memahami dan melaksanakan keputusan yang telah ditetapkan amat penting bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta keharmonian negeri terus terpelihara.

Justeru, fokus sahaja terhadap isu-isu utama rakyat yang dilihat lebih penting berbanding terus memanjangkan perdebatan terhadap perkara tidak lagi membawa penyelesaian baharu.

Keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh kesejahteraan, kestabilan dan masa depan rakyat secara keseluruhan.

Selain itu, kos sara hidup kekal menjadi tekanan utama apabila harga barangan keperluan, makanan dan perkhidmatan terus meningkat.

Keadaan ini memberi kesan paling besar kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang terpaksa menyesuaikan corak perbelanjaan harian mereka.

Golongan muda pula berdepan realiti sukar dalam pasaran kerja, walaupun peluang pekerjaan wujud, isu kestabilan pendapatan dan kesesuaian gaji dengan kos kehidupan masih menjadi cabaran utama yang belum selesai.

Jadi tuntasnya, banyak lagi perkara lain atau masalah rakyat yang lebih penting untuk diberi perhatian berterusan.