
Pelumba muda negara, Saidatul Zakirah, terus membuktikan semangat juang tinggi apabila menggalas cabaran dalam FIM Women’s European Championship 2026 bersama pasukan Sommariva Corse. Tampil dengan pendekatan realistik, Zakirah atau lebih dikenali sebagai Kirah memilih fokus kepada konsistensi, dengan sasaran menamatkan musim dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan.
Namun, perjalanan ke minggu perlumbaan bukan mudah. Dua minggu sebelum aksi, Kirah terlibat dalam kemalangan serius yang menjejaskan pergerakan hingga sukar berjalan. Walaupun belum pulih sepenuhnya, khususnya di bahagian kaki dan tangan, beliau tetap turun ke litar dengan keazaman tinggi.
Sepanjang minggu perlumbaan, Kirah memberi tumpuan mencari keselesaan di atas jentera serta membina semula keyakinan. Usaha itu jelas membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperbaiki catatan masa sehingga tujuh saat.
Memulakan perlumbaan dari kedudukan ke-14, Kirah menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-12 (ke-11 WEC) sebelum meningkatkan prestasi dalam Perlumbaan 2 dengan kedudukan ke-11 (ke-10 WEC).
Ini merupakan kali kedua beliau beraksi bersama jentera Yamaha R7, dan perkembangan positif ini memberi petanda bahawa Kirah semakin hampir untuk bersaing dalam kelompok hadapan.
The post Saidatul Zakirah Bangkit Lawan Cabaran, Hampir Tembusi Top 10 Kesuluruhan di Eropah appeared first on TW Media.
