Funtouch OS 14 Dilancarkan Secara Rasmi – Dibina Berasaskan Android 14

TechnologyDigital
9 Oct 2023 • 12:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Vivo telah mengumumkan kemaskini pelancar baharu berasaskan Android untuk telefon pintar mereka menerusi pengenalan FuntouchOS 14. Melaluinya ia dilihat memberi tumpuan lebih mendalam kepada beberapa aspek yang dirasakan penting termasuklah keupayaan berbilang tugas, kelancaran dan privasi. Hal ini bertujuan memastikan pengalaman pengguna dapat dimaksimumkan untuk pengalaman keseluruhan lebih baik.

image is not available

FuntouchOS 14 memperkenalkan ciri Smooth Envision yang secara amnya dapat bantu meningkatkan keseluruhan sistem pada peranti. Ia dikatakan mampu mengurangkan proses yang berterusan dan mengoptimumkan penggunaan RAM dengan lebih baik. Ini dibantu pula dengan ciri RAM Saver yang boleh membebaskan sehingga 600MB RAM untuk peranti dengan 8GB ataU lebih, sekaligus menjadikan proses multi-tugas lebih mudah. Kemudian ciri App Retainer pula akan memastikan aplikasi di latar belakang yang tidak ditutup secara manual sentiasa dipulihkan ke antaramuka terakhir.

image is not available

image is not available

Terdapat juga ciri Motion Blur yang menggunakan algoritma pintar untuk pengalaman peralihan visual lebih lancar khususnya apabila membuka atau menutup aplikasi pada skrin utama. Melaluinya ia dikatakan mampu meningkatkan kelancaran sehingga 18.7% lebih baik meskipun dengan kadar segar semula 60Hz. Pengalaman multi-tugas turut dipertingkatkan dengan ciri tetingkap kecil yang dinaiktaraf. Ia menyokong sehingga 12 tetingkap kecil di latar belakang, di samping proses bertukar ganti juga semudah dengan satu ketikan di hujung jari.

image is not available

Pengalaman bertambah baik dengan kawalan leret ke sisi dipertingkatkan yang amat berguna untuk senario yang memerlukan pengguna memberi tumpuan kepada lebih daripada satu aplikasi dalam satu masa. Misalnya seperti menonton video sambil berbual bersama rakan-rakan, melayari laman web sambil menunggu e-hailing atau bermain permua sambil membalas mesej.

image is not available

Dalam pada itu FuntouchOS14 juga menawarkan lebih banyak pilihan untuk tetapan peribadi. Ini termasuklah kebolehan menyesuaikan gaya jam pada skrin utama dengan pilihan tiga susun atur dan lapan jenis fon berbeza. Turut diperkenalkan adalah tema monokrom baharu yang dipanggil sebagai MY Color Palette dengan pelbagai kemasan warna ringkas untuk dipilih. Selain itu FuntouchOS14 juga dilengkapi ciri suntingan video lebih baik dengan kebolehan tetapan video yang boleh disesuaikan sehingga resolusi 4K/60FPS bersama 25 penuras diberikan bersama.

image is not available

Lain-lain perubahan yang disertakan termasuklah kemaskini pada ciri album yang kini membenarkan pengguna melaras pelbagai perkara termasuk kelajuan main balik video. Di samping terdapat juga ciri Smart Mirroring untuk perkongsian tanpa pendedahan maklumat peribadi dan aplikasi foto kini turut dilindungi dengan pengesahan kata laluan tambahan.

image is not available

Kemaskini akan sedia untuk dimuat turun bermula pertengahan Oktober pada peranti vivo X90 Pro dan iQOO 11.