Fuziah nafi beberapa ketua cabang PKR Sabah tidak puas hati pengurusan jentera

LocalPolitics
13 Oct 2025 • 9:39 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh menafikan dakwaan bahawa beberapa ketua cabang PKR di Sabah tidak berpuas hati dengan pengurusan jentera parti itu di negeri ini.

Katanya, hasil pertemuan dengan ketua-ketua cabang terbabit mendapati dakwaan itu hanyalah berpunca daripada segelintir individu dan tidak mewakili pendirian keseluruhan pimpinan cabang di Sabah.

“Sebenarnya mereka memaklumkan bahawa kenyataan tersebut dibuat oleh satu dua orang sahaja dan tidak melambangkan perasaan sebenar,” katanya.

Menurut Fuziah, pertemuan itu turut menjernihkan beberapa salah faham yang timbul sebelum ini dan semua pihak kini sepakat untuk menumpukan usaha memenangkan parti pada pilihan raya akan datang.

“Akhirnya selepas berjumpa mereka berpuas hati bahawa semua mahu memastikan parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri ini akan menang sebanyak mungkin kerusi,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan ‘Menu Rahmah’ di Pasaraya Besar Mydin, di sini, pada Ahad.

Sementara itu, mengulas mengenai struktur jentera pilihan raya di Sabah, beliau menegaskan bahawa semua jentera di peringkat cabang dan Dewan Undangan Negeri (Dun) adalah daripada kalangan ahli tempatan.

“Jentera adalah jentera tempatan dan saya sudah audit serta sahkan sendiri,” katanya sambil menjelaskan, peranan pimpinan angkat dari luar Sabah hanyalah untuk memberikan bantuan logistik dan keperluan operasi.

“Kalau bilik gerakan perlukan komputer, mesin fotostat atau apa-apa keperluan lain, pimpinan angkat akan bantu. Tapi mereka bukan untuk ‘dictate’ (mengawal), sebaliknya membantu memperkukuh gerak kerja,” jelasnya.

Terdahulu, MalaysiaKini melaporkan bahawa tiga sumber mendakwa 17 ketua cabang dan timbalan ketua cabang PKR Sabah mengadakan mesyuarat sulit di Kota Kinabalu pada Khamis lalu berikutan rasa tidak puas hati terhadap apa yang disifatkan sebagai “pengambilalihan pusat” terhadap jentera parti dan calon.