
TAMAPULI: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanahairku (Star) Bahagian Tamparuli Ts Jinitoh Sontori menyifatkan keputusan Presiden Star Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai langkah berani dan tepat demi mempertahankan hak serta maruah rakyat Sabah.
Beliau bependapat tindakan Dr Jeffrey itu merupakan isyarat jelas bahawa perjuangan untuk Sabah tidak boleh terus dikekang oleh permainan politik parti-parti dari Semenanjung yang hanya mahu mengekalkan kuasa mereka di negeri ini.
“PH kini bermain dua kolam bersama GRS dan pada masa yang sama dengan BN Sabah. Sedangkan semua orang tahu bahawa Umno Sabah merupakan musuh utama GRS,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Jinitoh berkata rakyat Sabah perlu sedar bahawa pelbagai taktik kotor sedang dimainkan untuk melemahkan pemimpin tempatan yang tegas mempertahankan hak negeri.
“Tuduhan rasuah, tekanan politik dan serangan peribadi bukanlah kebetulan. Semuanya adalah strategi untuk memastikan Sabah kekal di bawah pengaruh kuasa luar,” tegasnya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar menolak permainan politik parti-parti yang bersekongkol dengan parti dari Semenanjung.
“Marilah rakyat Sabah kita tolak parti dari Semenanjung yang datang dengan wajah manis tetapi penuh tipu daya. Aspirasi kita jelas Sabah untuk rakyat Sabah. Sudah tiba masanya kita berdiri teguh dan mempertahankan masa depan kita sendiri,” tambahnya.
Sementara itu Ketua Wiramuda Tamparuli Jess Joel Moriga turut menyuarakan sokongan kuat golongan belia terhadap Presiden Star Sabah.
Beliau menegaskan bahawa taktik fitnah seperti ini sudah menjadi kebiasaan menjelang pilihan raya namun generasi muda kini semakin bijak dalam politik.
“Setiap kali menjelang pilihan raya umum taktik fitnah seperti ini pasti digunakan. Namun saya yakin rakyat terutamanya golongan muda sudah bijak dan faham permainan politik kotor ini.
“Anak muda tidak mudah terpedaya dengan politik murahan yang hanya mahu menjatuhkan kepimpinan yang berwibawa,” ujarnya.
Jess menegaskan bahawa serangan peribadi tidak akan melemahkan semangat perjuangan malah akan memperkukuh solidariti ahli parti di semua peringkat untuk terus bersama Presiden.
