FWCMS solusi banteras masalah kebanjiran warga asing

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 11:53 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: FWCMS solusi banteras masalah kebanjiran warga asing

PUTRAJAYA- Masalah kebanjiran warga asing yang melibatkan pelbagai isu pematuhan imigresen perlu ditangani menerusi pendekatan pencegahan dan bukan bergantung kepada operasi serbuan semata-mata.

Dalam konteks ini, sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) dilihat mampu menjadi antara penyelesaian terbaik bagi tujuan itu dengan menyediakan pelbagai rekod digital melibatkan kumpulan berkenaan.

Profesional dasar awam, Dini Nurhani berkata, penguatkuasaan mungkin mengesan masalah, tetapi sistem FWCMS berperanan memastikan sistem kekal teratur.

“Jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri di Parlimen menerangkan bahawa FWCMS menyokong permohonan, kelulusan, pemantauan dan pengurusan pas kerja secara digital.

“Sistem ini menghimpunkan maklumat berkaitan majikan, kuota, saringan kesihatan dan kemasukan pekerja selain menyelenggara rekod berpusat yang boleh diaudit.

“Jawapan tersebut turut mengenal pasti pengesahan biometrik sebagai langkah perlindungan terhadap penipuan identiti, rekod berganda dan penyalahgunaan dokumen dengan mendigitalkan proses permohonan dan semakan biometrik,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, FWCMS juga mempunyai fungsi yang boleh menyokong perancangan penguatkuasaan yang lebih bersasar dengan modul eEnforcement menyediakan maklumat awal kepada imigresen mengenai permit kerja tamat tempoh.

“Fungsi notifikasi dan pelaporan pula membolehkan makluman dihantar kepada pihak berkepentingan melalui SMS, e-mel atau aplikasi mudah alih, manakala laporan dipaparkan melalui papan pemuka.

“Kemudahan ini menyediakan kaedah untuk menukar maklumat pentadbiran kepada tindakan susulan yang tepat pada masanya,” katanya.

Ujarnya, jika rekod tidak dikemas kini, amaran diabaikan atau pegawai lambat mengambil tindakan, sistem tersebut tidak lebih daripada sekadar tempat menyimpan rekod sahaja.

“Data dan maklumat yang tepat hanya bernilai apabila ia digunakan untuk membuat keputusan serta memberi tumpuan kepada kes yang benar-benar memerlukan penelitian,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post FWCMS solusi banteras masalah kebanjiran warga asing appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved