
KUALA LUMPUR: Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro melawat ibu pejabat St John Ambulance Malaysia di Jalan Shelley, di sini hari ini.
Ketibaan beliau bersama suami Dr Richard Davies pada kira-kira pukul 4.36 petang disambut oleh Ketua Komander St John Ambulance Malaysia Datuk Lai See Ming dan isteri Datin Wong Lai Hwa.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan yang juga menteri pengiing Hannah Yeoh dan suami M. Ramachandran.
Delegasi itu meluangkan masa kira-kira sejam melihat Galeri Warisan Kebangsaan Malaysia St John Ambulance, yang memaparkan sejarah organisasi pertolongan cemas dan perkhidmatan perubatan kecemasan di negara ini.
Terdahulu, Kiro menghadiri program komuniti Orang Asli anjuran Jungle School Gombak Malaysia, yang berlangsung di Alang Manja Resort, Gombak.
Ini merupakan lawatan sulung Kiro ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak memegang jawatan pada 21 Okt 2021.
Lawatan negara terakhir oleh gabenor jeneral New Zealand ke Malaysia adalah lawatan oleh Dame Patsy Reddy, dari 5 hingga 8 Dis 2017.
New Zealand merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.42 bilion) setakat Jun tahun ini, meningkat 15.3 peratus daripada RM5.48 bilion (US$1.27 bilion) yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2022. -Bernama

