
KUALA LUMPUR: Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro yang dalam lawatan sulung empat hari ke Malaysia, hari ini melawat masyarakat Orang Asli di Gombak, di sini.
Program anjuran Jungle School Gombak Malaysia itu diadakan di Alang Manja Resort, Gombak.
Dalam lawatan itu, Kiro turut menyaksikan penyediaan masakan Orang Asli dan merasai beberapa hidangan yang disediakan termasuk jagung parut dan lepat tepung.
Gabenor Jeneral New Zealand itu kemudian menyertai tarian tradisional Orang Asli, diikuti dengan melawat sebuah daripada rumah tradisional dan pameran mini mengenai Jungle School Gombak Malaysia.
Pada akhir lawatan, Kiro dan rombongan mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah dengan persembahan lagu Maori.
Pada Isnin, Kiro dalam ucapannya pada jamuan negara di Istana Negara berkata beliau berminat untuk mempelajari lebih lanjut mengenai Orang Asli di Malaysia dan bagaimana kedua-dua negara boleh bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata program perkongsian pengetahuan mengenai masyarakat Orang Asli meliputi pelbagai bidang seperti kesihatan, pendidikan, pelancongan dan biodiversiti.
Ini merupakan lawatan sulung Kiro ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak memegang jawatan sebagai Gabenor Jeneral New Zealand pada 21 Okt 2021.
Kali terakhir New Zealand mengadakan lawatan peringkat ketua negara ke Malaysia adalah pada 5 hingga 8 Dis 2017 oleh Dame Patsy Reddy.
New Zealand ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.42 bilion) setakat Jun tahun ini, meningkat 15.3 peratus daripada RM5.48 bilion (US$1.27 bilion) direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2022. -Bernama

