Gading retak & nampak kurus? Warganet bimbang kebajikan Dara, Amoi dan Kelat di Zoo Tennoji, MPT tampil beri penjelasan

LocalPets
8 May 2026 • 10:04 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Gading retak & nampak kurus? Warganet bimbang kebajikan Dara, Amoi dan Kelat di Zoo Tennoji, MPT tampil beri penjelasan

TIGA ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun menjadi perhatian warganet selepas video memaparkan ketiga-tiganya tular.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan menjelaskan, ketiga-tiga gajah berkenaan ditempatkan di zoo tersebut di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa yang dimeterai antara Zoo Taiping & Night Safari dan Zoo Tennoji pada 19 Mei serta 6 Oktober 2022.

Ujar beliau, perjanjian tersebut adalah bagi tempoh 25 tahun dan program seumpamanya telah lama dilaksanakan oleh zoo di seluruh dunia.

Image from: Gading retak & nampak kurus? Warganet bimbang kebajikan Dara, Amoi dan Kelat di Zoo Tennoji, MPT tampil beri penjelasan

"Semua pihak disaran merujuk kepada sumber rasmi dalam mendapatkan maklumat yang sahih serta mengelakkan sebarang tafsiran yang boleh menimbulkan kekeliruan, percanggahan fakta dan persepsi yang tidak tepat berhubung kebajikan Dara, Amoi dan Kelat," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amoi berusia sembilan tahun, Dara ,14, dan Kelat, 20, naik berat badan dengan konsisten selain dipantau secara berterusan oleh pakar veterinar dan penjaga haiwan berpengalaman (mahut), meliputi aspek kesihatan fizikal, pemakanan, tingkah laku serta persekitaran habitat.

Berdasarkan rekod pemantauan kesihatan, Kelat menunjukkan peningkatan berat sebanyak 440 kilogram (kg) daripada 2,360kg kepada 2,800kg, diikuti Dara yang meningkat 215kg (1,985kg kepada 2,200kg) serta Amoi bertambah 200kg (1,280kg kepada 1,480kg) hasil pemakanan serta penjagaan harian haiwan yang baik, selain kebajikan yang berada pada tahap tinggi serta mematuhi amalan terbaik pengurusan haiwan liar dalam kurungan.

Image from: Gading retak & nampak kurus? Warganet bimbang kebajikan Dara, Amoi dan Kelat di Zoo Tennoji, MPT tampil beri penjelasan
Tangkap layar video DAK yang dirakam pengunjung zoo berkenaan baru-baru ini

Katanya lagi, kemudahan habitat yang disediakan turut menepati piawaian antarabangsa termasuk ruang mencukupi, sistem penjagaan harian terancang serta program pengayaan bagi merangsang tingkah laku semula jadi haiwan.

"MPT akan terus berhubung dengan pihak pengurusan Zoo Tennoji dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan haiwan sentiasa diberi keutamaan," katanya.

Sementara itu, warganet mendakwa haiwan berkenaan semakin kurus dan bimbang keadaan fizikal yang terjejas.

"Nampak kurus je Kelat, Dara Dan Amoi tu berbanding semasa mereka di Kuala Gandah. Celah mana berat mereka naik?"

"Emosi gajah nampak tidak sihat. Gading pula retak dan dipotong. Kita pun tidak tahu kenapa ia berlaku?"

"Kesihatan mental gajah-gajah ini perlu diambil kira."

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian itu tidak terlibat sebagai pihak dalam perjanjian pemindahan haiwan tersebut dan perjanjian berkenaan dibuat secara langsung antara ZTNS dan ZTO melalui kaedah perniagaan dengan perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.

Zoo Tennoji terdahulu memperkenalkan DAK kepada pengunjung selepas ia mula dipamerkan kepada umum sejak 21 April. DAK dipindahkan ke Osaka menerusi penerbangan enam jam pada 11 Mac lalu.

Sumber : Sinar Harian 1, Kosmo, Facebook

 

 

View Original Article