Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Jodoh itu sememangnya rahsia Allah SWT. Itulah yang berlaku kepada seorang wanita, Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 28, yang sah diijabkabulkan bersama pengamal perubatan Islam, Mokhtar Mohamed, 82 yang selama ini merawatnya.
Jelas Wan Nor Fatihah, suaminya merupakan asbab dia tidak lagi diganggu dengan makhluk halus yang menjadi punca barangan di dalam rumah keluarganya terbakar di Kampung Kubang Terap, Melor dan Penambang, Kota Bharu di Kelantan sebelum ini.
Wanita Pernah Tular Dulu Dengan Gelaran ‘Gadis Api Misteri’, Sering Dikritik Masyarakat Kerana Kes Kebakaran Secara Tiba-tiba
Untuk info, Wan Nor Fatihah pernah tular sekitar tahun 2012 hingga 2020 dan digelar sebagai ‘gadis api misteri’.
Sepanjang diganggu, keluarga mereka sentiasa hidup dalam keadaan bimbang dan rasa tidak selesa apabila tempat tidur termasuk selimut, tilam serta bantal terbakar secara tiba-tiba.
Malah dia sekeluarga juga sering menerima tohmahan masyarakat selepas didakwa sengaja membakar rumah dan barang jiran tetangga.
Keputusan Untuk Berkahwin Pada Awalnya Tidak Dipersetujui Keluarga
Mereka mendirikan rumah tangga pada 24 Jun lalu selepas berkenalan selama dua tahun. Meskipun ada yang menggelar mereka ‘cucu dan datuk’, namun perbezaan umur 54 tahun itu tidak menjadi penghalang kepada ikatan rumah tangga yang terjalin.
“Saya mengenali suami ketika ikhtiar untuk mengubati penyakit selepas beberapa kali diuji dengan misteri kemunculan api di rumah kami walaupun sudah berpindah dari Melor ke Penambang.
“Pada awalnya keputusan saya untuk mengahwini suami yang merupakan duda selepas kematian isteri Februari lalu tidak dipersetujui oleh nenek serta ahli keluarga lain,” kata wanita itu, dipetik Sinar Harian.
Kehidupan Lebih Baik Dengan Suami, Perbezaan Usia Hanya Perkara Kecil
Namun begitu, selepas memikirkan bahawa Mokhtar sahaja yang memahami situasi yang dilaluinya dan dalam masa sama boleh merawatnya, Wan Nor Fatihah berpendapat perkahwinan itu adalah keputusan terbaik.
“Sebelum ini ramai yang beranggapan saya mental dan sebagainya disebabkan kejadian api misteri tersebut. Bukan mudah untuk saya lalui situasi berkenaan.
“Alhamdulillah, kehidupan saya kini lebih baik disamping suami. Tentang perbezaan usia, itu hanya perkara kecil walaupun kami sering digelar cucu dan datuk bila muncul di khalayak ramai,” katanya.

Wanita Tidak Lagi Diganggu Selepas Berkahwin Dengan Pengamal Perubatan Islam
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata sejak berkahwin dengan si pemilik hati, dia tidak lagi mengalami sebarang gangguan.
Wanita yang pernah mendirikan tangga bersama lelaki berusia 40-an sebelum ini berkata rumah tangganya itu hanya bertahan setahun sahaja.
Berharap Dikurniakan Cahaya Mata Walaupun Jurang Umur Yang Besar
Tambahnya, Mokhtar mempunyai tujuh orang anak berusia 61 hingga 42 tahun.
“Meskipun berbeza usia 54 tahun dengan suami, saya tetap berdoa agar dikurniakan zuriat,” kata wanita itu, memetik Kosmo.

