
PETALING JAYA – Seorang gadis autistik membuktikan kekurangan bukan penghalang apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dan meraih keputusan Senarai Dekan (dean’s list) setiap semester sepanjang pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak.
Shariah Nur Ain Sayed Mohd. Nizam, 21, disahkan autistik sejak berusia 13 tahun, namun bukan penghalang untuk dia cemerlang selaku pelajar dalam bidang Diploma Sains Komputer.
Katanya, kelainan dirinya mula dikesan ibu bapanya ketika dia berada di sekolah menengah.
“Ketika itu sukar untuk saya menyesuaikan diri di sekolah kerana ada masalah bersosial dan sering menangis setiap hari tanpa sebab.
“Ibu kemudian membawa saya berjumpa pakar psikologi dan menjalani sesi terapi setiap minggu. Sejak itu emosi saya semakin teratur dan bertambah baik dan boleh menyesuaikan diri dengan rakan dan guru,” katanya.
Menurut Shariah Nur Ain, ketika di UiTM, dia berdepan cabaran apabila perlu mengurus emosi sendiri tanpa keluarga di sisi terutama ketika ada masalah.
Tambahnya, sikapnya yang gemar berterus terang juga sering disalah erti oleh rakan-rakan terutama ketika penglibatan dalam kerja berkumpulan.
“Saya tidak berapa pandai nak bercakap dengan intonasi yang betul, jadi ayat saya nampak sedikit kasar pada mulanya sebab saya jenis yang suka berterus terang tanpa berlapik,” ujarnya.
Ujar Shariah Nur Ain, dia kemudian merancang strategi pembelajaran apabila mengetahui kelemahan dirinya yang mudah hilang fokus.
“Saya buat sesi pembelajaran sendiri selama 20 minit sehari bagi setiap subjek sebelum kelas bermula. Dalam kelas, saya beri fokus sepenuhnya supaya saya tidak perlu lama mengulang kaji,” katanya.
Menurut Shariah Nur Ain, dia tidak sangka usaha kecil itu akan membawa kepada perubahan yang bermakna.
“Keluarga sentiasa menyokong saya selain pensyarah, koordinator program serta Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya UiTM,” katanya.
Kini dia melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Pintar (AI Engineering) di UiTM Shah Alam.
The post Gadis autistik ‘bangkit’ raih Anugerah Naib Canselor appeared first on Kosmo Digital.



