
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pempengaruh TikTok bukan beragama Islam yang tampil memberi sumbangan di lokasi pembayaran zakat fitrah mengundang perhatian serta pujian warganet di media sosial.
Menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok miliknya, Bellemotorsport dilihat bertanya kepada seorang amil sama ada individu bukan Islam dibenarkan membayar zakat.
Amil yang dikenali sebagai Ustaz Aiman Rozli kemudian menjelaskan bahawa zakat hanya diwajibkan kepada umat Islam, manakala individu bukan Islam masih boleh melakukan kebaikan melalui sumbangan atau sedekah kepada golongan yang memerlukan.
Dalam video tersebut, Belle berkata dia ingin menyumbang kerana ramai pengikutnya terdiri daripada umat Islam dan berharap sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan.
“Bukan muslim boleh bayar zakat tak? Untuk muslim saja kan? Kalau bukan muslim macam mana? Sini saya boleh sedekah kan sebab pengikut saya ramai muslim.
“Saya ambil kerja, buat paid review dan sebagainya, jadi saya buat sedikit sedekah. Saya bagi kepada anak yatim. Tahun 2026 ini saya nak tengok senyuman orang yang tak mampu,” katanya dalam video berkenaan.
Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial yang memuji sikap pemurah pempengaruh berkenaan.
Malah, ramai turut mendoakan agar Belle terus dimurahkan rezeki dan sentiasa diberikan peluang untuk membantu golongan yang memerlukan. – MYBERITA



