
ALOR GAJAH – Gadis berusia 19 tahun yang tular selepas didakwa hidup dalam keadaan rumah dipenuhi najis akibat terlalu leka dengan permainan video dalam talian dikatakan mula terjebak dengan ketagihan berkenaan sejak berada di darjah enam.
Kakak sepupunya yang mahu dikenali sebagai Nia, 36, berkata, perubahan itu mula berlaku selepas remaja itu mula memiliki telefon sendiri dan banyak menghabiskan masa dengan permainan video sehingga menjejaskan rutin hariannya.
Menurutnya, sebelum itu sepupunya itu merupakan seorang pelajar yang mempunyai pencapaian akademik baik, malah memperoleh keputusan 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Dia merupakan anak tunggal yang membesar dalam keluarga penuh cabaran apabila ibunya mengalami masalah kesihatan sehingga lumpuh, manakala bapanya pernah berdepan masalah berkaitan penyalahgunaan dadah sebelum meninggal dunia akibat asma kronik.
“Dia mula pegang telefon sejak darjah enam dan dari situ memang nampak dia semakin ketagih sehinggalah dia tidak mahu ke sekolah ketika berada di tingkatan dua” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Nia berkata, sepupunya itu sebelum ini memberikan alasan tidak mahu bersekolah kerana ingin menjaga ibunya yang ketika itu tidak sihat, namun situasi semakin memburuk apabila waktu tersebut digunakan untuk bermain permainan video sehingga kebersihan rumah keluarganya terabai.
“Cikgu dia turut pernah datang ke rumah bagi memujuknya meneruskan persekolahan tetapi dia tetap tidak mahu dan penduduk kampung pula beberapa kali membantu membersihkan kediaman keluarganya.
“Saya sendiri yang duduk berhampiran sudah berkali-kali kemas rumah itu sebersih-bersihnya tetapi kotor semula. Pernah sekali ibunya minta dimandikan kerana rupanya sudah lapan bulan dia tidak dimandikan selepas lumpuh dan difahamkan Nuriz juga tidak mandi sepanjang tempoh tersebut kerana ketagihannya,” katanya.
Menurutnya, selepas ibu saudaranya meninggal dunia, dia telah mengambil tanggungjawab menjaga remaja itu bagi memastikan kebajikan serta masa depan gadis itu terbela.
“Saya jaga dia selama setahun dua bulan. Masa duduk dengan saya, saya nampak dia boleh berubah. Dia jaga kebersihan, solat dan saya ajar dia berdikari termasuk memasak.
“Saya nak dia jadi seseorang. Saya bagi dia kerja di butik saya di Tanjung Minyak dan cuba ajar dia berdikari. Saya juga pernah daftarkan dia untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kelas memandu tetapi dia tidak pergi,” katanya.
Nia berkata, perubahan positif remaja itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila dia kembali tinggal berdikari di rumah keluarganya dan menghabiskan sebahagian besar masa bermain permainan video.-KOSMO! ONLINE
The post Gadis ketagih permainan video dalam talian sejak darjah enam appeared first on Kosmo Online.





